Jurgen Klopp mengakui sukar untuk menghalang Manchester City daripada mendominasi Liga Perdana Inggeris tetapi menegaskan skuad bimbingannya, Liverpool, merupakan antara yang terbaik dalam sejarah.

Kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers semalam tidak cukup untuk membawa The Reds ke puncak liga dan menghalang City daripada mengekalkan kejuaraan tatkala pasukan kendalian Pep Guardiola itu memegang kelebihan satu mata susulan kemenangan 4-1 ke atas Brighton and Hove Albion.

Liverpool merupakan pasukan di pentas tertinggi England yang pertama mencatat 30 kemenangan, meraih 97 mata dan hanya tewas sekali tetapi gagal untuk bergelar juara.

Klopp terpaksa menerima tahap ketekalan yang dipamerkan City serta kekuatan kewangan membuatkan mereka sukar dikejar di masa akan datang tetapi yakin waktu buat Liverpool akan tiba berdasarkan peningkatan sejak setahun lalu.

"Tahniah untuk City, ia penting untuk dikatakan," katanya.

"Mereka melalui musim hebat. Kami juga begitu tetapi mereka adalah pemenang, jadi tahniah buat Guardiola dan semua di City.

"Selagi City dikelilingi oleh kualiti yang mereka ada serta kekuatan kewangan dan sebagainya, bukan mudah untuk pasukan lain melepasi mereka. Itu sangat jelas.

"Kami perlu benar-benar sempurna untuk menjuarai liga. Kami melalui langkah yang besar dan sebenarnya, saya menjangkakan lebih lagi.

"Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak tahu. Jika anda melihat sesuatu sebagai satu-satunya peluang buat anda, saya juga seperti anda.

"Orang ramai memberitahu bahawa sudah 30 tahun sejak kali terakhir Liverpool memenangi liga dan sebagainya tetapi mereka mempunyai masalah lebih besar. Kami akan terus mara. Pasukan ini sudah mencuba dan saya rasa mereka melakukannya dengan hebat.

"Untuk berada di laluan ini dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah, ia indah. Pasukan ini merupakan salah satu skuad terbaik Liverpool, saya yakin. Namun, kami beraksi di dalam liga dengan pasukan yang sangat bagus dan kami harus menerimanya.

"Jumlah 97 mata sangat hebat dan hanya disebabkan City di situ, ia tidak cukup. Di negara lain, ia semestinya sudah cukup tetapi inilah keadaan di sini. Tiada masalah.

"Kelab ini berada dalam detik indah untuk tempoh masa yang lama dan tidak akan menamatkannya kerana ada satu pasukan yang mempunyai kelebihan satu mata. Ia bukan satu artikel yang selesai. Kami akan kembali, 100 peratus."