Liverpool tidak mampu untuk menandatangani bintang Perancis seperti Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann, kata pengurus, Jurgen Klopp.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu tidak memiliki sebarang pemain Perancis dalam skuad utama mereka walaupun pasukan Les Bleus itu memenangi Piala Dunia tahun lalu.

Mamadou Sakho meninggalkan Liverpool untuk menyertai Crystal Palace secara tetap pada Ogos 2017 dan sejak itu, tiada rakan senegaranya yang berpindah ke Anfield biarpun Liverpool sedang membangun.

"Tiada alasan untuknya," kata Klopp kepada Canal Football Club.

"Kylian bermain untuk PSG (Paris Saint-Germain), Griezmann menyertai Barcelona.

"Sudah pasti anda menyedari betapa hebatnya pasukan (kebangsaan) anda.

"Kami menggemari pemain Perancis tetapi sebahagian mereka terlalu mahal untuk kami," katanya.

Liverpool akan menerima pemain baru apabila jendela perpindahan dibuka 1 Januari ini selepas bersetuju untuk menandatangani pemain sayap Jepun, Takumi Minamino, daripada Salzburg.

Skuad kendalian Klopp itu memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dan menjulang Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Flamengo 1-0 di Doha, Qatar semalam.

Selepas ini, mereka akan bertemu pencabar terdekat dalam Liga Perdana, Leicester City, di Stadium King Power, sehari selepas Krismas.