Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bimbang dengan kemampuan "mesin gol", Pierre-Emerick Aubameyang, menjelang aksi berdepan Arsenal, malam ini.

Klopp dan Aubameyang menikmati dua musim bersama di Borussia Dortmund sebelum jurulatih itu berhijrah ke Anfield pada 2015 manakala penyerang tersebut ke Arsenal, Januari tahun lalu.

Aubameyang menyerlah sepanjang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), menjaringkan 43 gol dalam 67 perlawanan buat Arsenal.

Klopp, yang menyedari kemampuan yang dimiliki bekas pemain kendaliannya itu, bercakap tentang Aubameyang menjelang pertembungan di antara dua pasukan teratas liga itu di Anfield.

"Aubameyang sebenarnya tiada kelemahan yang nyata selain gaya fesyennya. Saya sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Auba sebelum ini," kata Klopp.

"Saya tidak memikirkan tentang EPL apabila menandatanganinya untuk Dortmund. Dia bermain sebagai pemain sayap di Saint-Etienne pada ketika itu, kami memerlukan pemain nombor sembilan kerana Robert Lewandowski berhijrah ke Bayern Munich.

"Dia berjaya menyesuaikan diri dan cemerlang beraksi sebagai penyerang tengah. Dia telah dibentuk untuk menjadi seorang mesin gol."
Selepas menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan pembukaan, Klopp memuji persembahan yang dipamerkan Aubameyang.

"Sejujurnya, dia memiliki sentuhan penyudah yang menakjubkan. Digabung dengan kepantasannya menjadikan Aubameyang seorang pemain yang menarik."