Jurgen Klopp mendedahkan beliau sentiasa memberi jaminan kepada Naby Keita sebelum pemain tengah itu diberi peluang memperkuatkan Liverpool ketika menghadapi Bournemouth semalam.

Keita menyumbat gol dan mencipta bantuan jaringan dalam permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya ketika menang 3-0 di Stadium Vitality.

Didatangkan dengan kos £53 juta (RM290.1j) daripada RB Leipzig pada 2018, pemain tengah itu berdepan kesulitan sejak tiba di Anfield dan Klopp mendedahkan bahawa beliau sering bercakap dengan pemain antarabangsa Guinea berkenaan mengenai kedudukannya di Liverpool.

"Naby duduk di tepi padang dan berfikir mengapa saya tidak beraksi? Saya amat memahaminya," kata pengurus Liverpool itu kepada akhbar UK.

"Jadi, kami tetap berhubung, kami sering berbincang dan kerap bercakap mengenainya. Tetapi akhirnya, pemain perlu menawarkan bukti bahawa mereka masih mempunyai kepercayaan pengurus.

"Naby dilanda kecederaan dan pasukan ketika itu pula dalam keadaan yang sangat baik, jadi saya membuat rombakan jika perlu. Kami bukannya mendahului selesa seperti 4-0 atau 5-0. Jadi, kami perlu memasukkan pemain yang boleh membantu untuk bertahan dalam situasi bola mati."

Selepas Alex Oxlade-Chamberlain membuka jaringan di Bournemouth, Keita menemui sentuhan jaringan sebelum mencipta jaringan kepada Mohamed Salah buat pendahulu Liga Perdana itu.

Dengan The Scousers kekal mengetengahkan pendekatan rombakan skuad, Klopp berkata barisan pemainnya memahami keadaan itu.

"Tidak sukar bagi saya untuk meminggirkan pemain," katanya.

"Saya tidak bercakap dengan Sadio (Mane) tentang hal itu, saya tidak bercakap dengan Divock Origi, saya tidak bercakap dengan Bobby (Firmino) ataupun Mo, minggu lalu, saya juga tidak berbincang dengan Hendo (Jordan Henderson).

"Saya tidak bertanya, saya hanya perlu membuat keputusan dan pada masa akan datang, semua orang tahu bahawa yang lain juga akan diberi peluang beraksi.

"Pemain saya adalah kumpulan pemain bijak yang merujuk kepada jadual perlawanan, mereka tahu bagaimana keadaannya."

Liverpool akan berkunjung ke Salzburg, awal pagi Rabu ini, dan perlu mengelak kekalahan untuk mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara.