LIVERPOOL 1 MANCHESTER CITY 4

Jurgen Klopp melihat petanda positif daripada Liverpool sambil mengakui dua "kesilapan besar" Alisson Becker menjadi punca kekalahan 1-4 kepada Manchester City, awal pagi tadi.


Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas buat kali ketiga berturut-turut di gelanggang sendiri, sekali gus perebutan gelaran semakin samar buat mereka.

The Citizens kini dipisahkan lima mata dengan pencabar terdekat, Manchester United, di puncak sementara 10 mata mendahului kelab Merseyside itu, malah skuad Pep Guardiola berkenaan mempunyai baki satu lagi perlawanan.

Sepakan penalti Mohamed Salah dalam babak kedua pertembungan di Anfield itu membatalkan jaringan pembukaan Ilkay Gundogan, namun dua kesilapan oleh penjaga gawang Brazil tersebut membantu pelawat mencatatkan rentetan kemenangan ke-14.




"Apabila anda tewas 1-4, ia jelas bukan hari anda. Pasukan saya menampilkan aksi hebat dalam sebahagian besar perlawanan ini, kami memperagakan permainan yang sangat bagus," kata pengurus Liverpool itu kepada Sky Sports.

"Dalam separuh masa pertama, kami beraksi dengan sangat bagus. Apabila menentang City, ia bermakna anda sedang membaca permainan. Bermula babak kedua, City mengubah sedikit sistem mereka menjadi 4-4-2.

"Kami menyesuaikan diri dan dalam separuh masa kedua, kami tidak dibenarkan mempamerkan prestasi sebenar lalu melepaskan gol pertama. Kami memberikan mereka ruang.

"Kami menjaringkan gol penyamaan dan perlawanan seakan-akan mula menyebelahi kami. Kami membuat dua kesilapan besar. Mereka mengambil kesempatan itu dan apabila di kedudukan 1-3, kebangkitan semakin sukar.

"Ia satu persembahannya bagus untuk sebahagian besar perlawanan ini. Benar-benar bagus dan di tahap tinggi, jika kami beraksi seperti ini sebelum ini, maka kami tidak akan berada 10 mata di belakang City.

"Jaringan -- kami melakukan kesilapan besar kerana jika berdepan City, ia adalah membunuh anda. Itulah sebabnya kami tumpas."

Klopp berasakan rakan sepasukan gagal membantu Alisson yang menjadi punca kepada jaringan kedua dan ketiga City, masing-masing disumbangkan oleh Gundogan dan Raheem Sterling.

Dia muncul penjaga gol The Reds pertama yang menjadi punca dua gol dalam satu perlawanan sejak insiden Loris Karius ketika menentang Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara (UCL) pada Mei 2018.

"Memang benar kami tidak menawarkannya banyak pilihan terutama jaringan pertama yang dibolosi," kata pengurus itu lagi.

"Saya rasa tiada penjelasan mengenai gol kedua, mungkin dia menjadi gugup. Ia kedengaran lucu tetapi boleh terjadi, tetapi dia sepatutnya boleh mengeluarkan bola itu.

"Begitupun, Ali sering menyelamatkan kami dan malam ini dia melakukan dua kesilapan."




Dengan jurang dua digit dengan City, pengurus dari Jerman itu mengesahkan fokus utamanya adalah untuk merebut kedudukan empat teratas dan tempat dalam UCL musim depan.

Mereka akan kembali menyambung aksi liga dengan bertandang pasukan di tangga ketiga, Leicester City, Sabtu depan.

"Sudah tentu ia sasaran utama kami. kami akan mencuba segalanya," katanya.

"Kami masih mempunyai banyak lagi aksi untuk mengesahkannyua tetapi kami harus memenangi perlawanan."