Pengendali baharu Swansea City, Bob Bradley, membidas Jurgen Klinsmann kerana secara terang-terangan merebut jawatannya ketika sedang mengendalikan skuad Amerika Syarikat pada tahun 2010.

Bradley diumum secara rasmi selaku pengganti kepada Francesco Guidolin di Swansea pada Jummat, dan Klinsmann menjadi salah satu soalan yang telah diajukan terhadapnya ketika sesi sidang media.

Bekas pemain antarabangsa Jerman itu telah mengucapkan tahniah kepada Bradley kerana dilantik selaku pengendali baharu Swansea City.

Bagaimanapun, Bradley mengakui dia masih menyimpan rasa tidak puas hati akan cara Klinsmann yang mengejar kerusi pengendali Amerika Syarikat pada 2010.

"Dari hari pertama saya dipecat selaku pengendali AS, saya tidak pernah berkata apa-apa," katanya kepada media. "Saya tidak menghargai cara saya dipecat, pada saya mereka telah melakukan kesilapan.

"Saya lega Jurgen kini mengucapkan sesuatu yang baik kepada saya. Ketika dia membuat ulasan sewaktu Piala Dunia 2010, secara terang-terangan dia meluahkan niat mahukan jawatan saya ketika itu.

"Saya hanya mendiamkan diri kerana mahu melihat pasukan saya melakar kejayaan, apatah lagi Michael (anaknya) menjadi kapten pasukan.

"Jadi, saya menghargai sokongan yang diberikan Klinsmann terhadap tugas baharu saya ini."

Sementara itu, Bradley memberi jaminan bahawa dia tidak merancang untuk membuat perubahan drastik di samping menekankan kepentingan Alan Curtis yang akan bertindak selaku jurulatih skuad utama pasukan itu.

"Peranannya sangat penting. Dia memahami pasukan ini, pengalamannya sangat berharga.

"Saya mahu mencari keseimbangan dalam pasukan ini, itu fokus saya dan bukannya cuba membawa masuk barisan jurulatih yang baharu."

Ketika sedang memperkenalkan Bradley kepada pihak media, pengendali yang telah dipecat, Guidolin, mengejutkan orang ramai apabila muncul dalam sesi sidang media sebelum dibawa pergi.