Pemain-pemain Arsenal akan membuka buku baru di bawah kendalian Mikel Arteta, yang mengesahkan Freddie Ljungberg kekal bersama pasukan sebagai sebahagian daripada staf kejurulatihan.

Selepas menyaksikan perlawanan seri tanpa jaringan di Everton, Arteta bakal mengambil alih perlawanan pertama berdepan Bournemouth, Khamis ini.

Ljungberg sebelum ini bertindak sebagai pengurus sementara dengan memilih barisan muda dan kurang berpengalaman untuk beraksi di Goodison Park.

Mesut Ozil diketepikan ekoran kecederaan, namun Ljungberg mengesahkan bekas pemain kebangsaan skuad Jerman itu tetap tidak akan terpilih atas tindakannya sewaktu digantikan ketika tewas kepada Manchester City

Bagaimanapun, Ozil -- dan kesemua rakan sepasukannya -- bakal berpeluang menikmati permulaan yang segar di bawah kendalian Arteta, yang meninggalkan peranannya sebagai pembantu Pep Guardiola bersama Manchester City untuk kembali ke Stadium Emirates.

"Tugas saya bermula sejurus perlawanan itu tamat. Jadi, saya perlu memastikan setiap pemain meningkatkan semula kekuatan mental dan kemudian membuat persiapan untuk aksi seterusnya," katanya.

"Bersama saya, kami akan membuka buku baru. Saya beritahu mereka. Anda semua tidak akan dinilai di atas apa yang telah dilakukan sebelum ini, sama ada ia positif atau sebaliknya.

"Perkara ini akan berkembang setiap hari hari dan saya menjangkakan anda menampilkan prestasi cemerlang setiap hari untuk saya. Jika anda melakukannya, anda berpeluang untuk beraksi."

Ketua jurulatih baru itu bakal bersandarkan kepada Ljungberg untuk mendapatkan bantuan selepas mereka berbincang hujung minggu lalu.

"Saya telah bercakap dengan Ljungberg selepas tamat perlawanan. Saya memberitahu idea saya dan mahu membawa staf kejurulatihan saya, peranan serta tanggungjawab yang harus dipikul," kata Arteta.

"Kami telah berbincang dan membuat keputusan yang terbaik dan Ljungberg akan terus bersama kami.

"Saya berasakan dia akan sentiasa bersama kami, saya berasakan dia mengenali pemain-pemain, memahami situasi dan sejarah pasukan ini. Saya juga berpandangan ilmu yang dimilikinya akan membantu kami menjadi lebih baik."

Arsenal mengumumkan semalam bahawa Ozil bakal diturunkan berdepan Bournemouth manakala Hector Bellerin dan Dani Ceballos kedua-duanya sudah kembali berlatih sepenuhnya.