Leroy Sane gembira apabila berpeluang untuk berganding dengan Riyad Mahrez selepas bintang Algeria itu melengkapkan perpindahan rekod kelab dari Leicester City ke Manchester City.

Mahrez dikaitkan dengan perpindahan ke Etihad sejak Januari lalu, namun perbincangan ketika itu gagal mencapai kata sepakat.

Pep Guardiola kembali mengejarnya pada bulan ini, memberikan tawaran bernilai GBP60 juta (RM319 juta), satu rekod perpindahan buat kelab.

Situasi itu membuatkan Sane gembira dapat beraksi bersama Mahrez bagi musim 2018/19 selepas dikecewakan terlepas peluang Anugerah Pemain Terbaik Tahunan 2016.

"Saya gembira dia di sini. Setiap kali kami bertemu Leicester, ketika dia memegang bola, saya berharap dia tidak melakukan apa-apa perkara kreatif.

"Kini, saya sangat gembira dia bersama kami memandangkan Mahrez adalah seorang pemain bola sepak yang hebat. Anda boleh saksikannya.

"Dia benar-benar seorang pemain yang bagus serta pemuda yang baik. Saya tidak boleh memberitahunya kerana dia akan lebih kuat dan mengambil alih tempat saya."

Dalam masa sama, pemain sayap berusia 22 tahun itu yakin bahawa persaingan sihat akan membawa City naik ke satu tahap lebih tinggi.

"Tekanan tidak boleh dihadapi oleh setiap pemain sama. Jika seorang pemain banyak beraksi, dia memerlukan rehat. Mungkin dalam dua perlawanan untuk pulih.

"Lihat sahaja pada musim lalu, bersama Bernardo Silva, persaingan itu membuatkan mereka kuat dan lebih baik.

"Kami sedar Liga Perdana Inggeris adalah sesuatu yag sukar, beraksi dalam tiga hari sekali. Jika anda beraksi dalam seluruh musim, akhirnya ia nanti akan menjadi sangat sukar," tambahnya.