Frank Lampard menuntut agar pemain Chelsea menunjukkan perwatakan sebenar untuk bangkit susulan tewas 1-0 di tangan West Ham United sambil pengurus The Blues itu tidak mahu menjadikan ketiadaan Tammy Abraham sebagai faktor kekalahan itu.

Dalam aksi lewat malam tadi, Abraham tidak dapat beraksi selepas mengalami kecederaan pinggul ketika The Blues diikat Valencia 2-2, Rabu lalu, membolehkan Olivier Giroud menggantikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Lampard turut meletakkan N'Golo Kante di bangku simpanan tatkala West Ham menggunakan bahagian tengah untuk menguasai permainan sebelum mengutip kemenangan pertama dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Pada pertengahan minggu depan, Chelsea akan berdepan Aston Villa di Stamford Bridge sebelum bertandang ke Goodison Park untuk menentang Everton, Sabtu depan.

Lampard menegaskan dia tidak mahu menunjukkan sebarang reaksi panik selepas pasukan bimbingannya itu mengalami kekalahan kedua di laman sendiri musim ini.

"Ia bukan mengenai seorang pemain," katanya ketika ditanya mengenai kepentingan kecederaan Abraham.

"Kami tiba lewat dari Valencia dan saya perlu fikirkan bagaimana untuk terus mara. Kami tidak akan melalui musim tanpa 10 atau 11 pemain.

"Saya fikir Chelsea memiliki kualiti yang cukup untuk menang dalam perlawanan ini. Jarang saya katakan kami beraksi di bawah kemampuan sebenar. Namun, hari ini adalah salah satu daripadanya.

"Namun, saya fikir ini bukan masanya untuk menunjukkan reaksi kecewa atau menghakimi individu atau pasukan. Sudah tiba masa untuk melihat sedikit reaksi menjelang pertemuan menentang Villa."

Sementara itu, pengendali West Ham, Manuel Pellegrini, mempertahankan keputusannya mengekalkan corak permainan pasukan kendaliannya itu walaupun melalui prestasi buruk sebelum mencapai kemenangan.

The Hammers tiba di Stamford Bridge tanpa sebarang kemenangan sejak 22 September lalu dan masa depan pengurus itu mula menjadi subjek spekulasi media.

"Apabila menang, anda seorang genius, jika kalah anda merupakan gergasi.

"Saya lebih risau bagaimana untuk meyakinkan pemain. Kami sedar kami tidak mendapat keputusan diinginkan tetapi tetap tidak boleh mengubah corak permainan sambil harus percaya bahawa apa yang kami lakukan adalah salah.

"Kami konsisten dan kukuh sepanjang perlawanan tetapi kami tidak hadir ke sini untuk keputusan seri. Itulah cara yang perlu dterapkan pasukan ini."