Ketenangan bawa Manchester United ke puncak -- Pogba 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Januari 2021 4889
Ketenangan bawa Manchester United ke puncak -- Pogba 
BURNLEY 0 MANCHESTER UNITED 1

Paul Pogba berasakan Harry Maguire dinafikan gol cantik sambil memuji Manchester United kerana tetap tenang untuk terus berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketua pasukan United, Maguire, berpendapat bahawa dia telah memecah kebuntuan dalam separuh masa pertama ketika menentang Burnley itu, awal pagi tadi, sebelum pengadil, Kevin Friend, secara kontroversi memutuskan bahawa dia terlebih dahulu mengasari Erik Pieters.  

Video bantuan pengadil (VAR) menyokong keputusan itu, lantas buat sementara waktu The Red Devils seolah-olah diselubungi kekecewaan dalam usaha mereka untuk menang.

Begitupun, hantaran silang Marcus Rashford berjaya menemui Pogba -- ketika permainan berbaki 19 minit -- yang kemudian menewaskan penjaga gol tuan rumah, Nick Pope, menerusi rembatan voli.

Ia memberikan kemenangan tipis 1-0 buat pelawat untuk tiga mata di puncak EPL, sekali gus memintas Liverpool menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Anfield, tengah malam Isnin depan.

"Jelas sekali gol itu sepatutnya diiktiraf, saya tidak pasti apa yang terjadi," katanya mengenai jaringan tandukan Maguire yang dibatalkan.

"Ia adalah satu gol yang menarik tetapi pengadil memutuskan bahawa ia tidak. Ini adalah keputusan yang pelik tetapi kami meraih keputusan yang dihajati dan ia membuatkan kami gembira.

"Jelas ia detik sukar tetapi kami harus bersikap profesional dan kami sedar ia bukan mudah, lebih-lebih lagi terhadap keputusan pengadil.

"Tetapi saya bukan bos di atas padang, jadi kami hanya perlu bertenang dan terus fokus, tentu saja kami menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini."


 


United menghuni tangga teratas buat pertama kalinya sejak musim terakhir Sir Alex Ferguson bertugas, iaitu ketika mereka mengecapi gelaran liga ke-20.

Tetapi selepas 17 perlawanan, Pogba mengingatkan rakan sepasukannya bahawa masih banyak yang perlu dilakukan.

"Anda dapat melihat bahawa perlawanan ini adalah berat sebelah, sangat sukar untuk beraksi di sini," tambah pemain terbaik perlawanan itu yang melakukan sentuhan tertinggi dalam perlawanan (104), hantaran tepat (70) dan umpanan gol (lima).

"Mereka mempunyai gaya permainan yang sangat mantap dan kami sedar ia akan menjadi sukar.

"Kami harus kekal tenang dan fokus kepada diri sendiri sahaja sambil berharap jaringan akan menyusul dan ia akhirnya tercapai. Ia adalah satu persembahan hebat dari semua orang, fokus yang baik.

"Kami selalu berasa gembira ketika menang -- kami menang malah saya gembira kami beraksi dengan baik. Perjalanan masih panjang dan kami mempunyai perlawanan getir yang harus dilalui jadi kami perlu fokus terhadap persiapannya.

"Kami memungut tiga mata dan kami gembira untuk itu tetapi perjalanan masih panjang dan kini kami perlu kembali fokus hingga ke hujung musim."



 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen