MANCHESTER UNITED 0 ARSENAL 1

Paul Pogba memikul tanggungjawab atas kekalahan 0-1 Manchester United kepada Arsenal sambil mengakui bahawa dia telah melakukan "kesilapan budak sekolah" ketika menghadiahkan sepakan penalti yang menjadi pemisah kepada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, awal pagi tadi.


Walaupun skuad bimbingan Mikel Arteta itu hanya mencatat gol tunggal di Old Trafford, ternyata permainan memihak peada pelawat.

Arsenal mempamerkan aksi mengagumkan dalam babak pertama, tekanan di kawasan lawan berjaya mengasak United dan menyebabkan tuan rumah bergelut ketika cuba mengatur permainan daripada belakang.

Gol kemenangan itu muncul dalam babak kedua apabila Pierre-Emerick Aubameyang menyempurnakan sepakan penalti selepas Pogba dipersalahkan kerana menjatuhkan Hector Bellerin gara-gara kegopohan tonggak antarabangsa Perancis berkenaan mengekang larian pemain Sepanyol tersebut.

Justeru, kesilapan itu terus berlegar di fikiran pemain berusia 27 tahun tersebut.

"Kami tahu persembahan yang kami pamerkan adalah buruk. Saya sendiri, saya tidak boleh melakukan kekasaran seperti itu ," katanya kepada BBC Sport.

"Saya fikir saya akan dapat menyentuh bola, tetapi tidak -- saya menyebabkan kami dibolosi angkara penalti.




"Saya berasa seperti ada menyentuhnya sedikit, saya sedar berada di dalam kotak penalti. Saya tidak seharusnya memberikan sepakan penalti seperti itu.

"Mungkin akibat agak mengah, ia mendorong saya melakukan kesalahan mudah seperti ini. Saya akan belajar daripada kejadian ini. Saya tidak bagus ketika bertahan di kotak penalti sendiri jadi saya perlu mengatasinya.

"Kami harus melakukan yang lebih baik lagi, pasukan termasuk saya sendiri -- ia bermula dengan saya sendiri."

Begitupun, Pogba juga berasakan The Red Devils seharusnya bertindak lebih baik ketika menghadapi tekanan agresif The Gunners yang kerap melancarkan serangan selain menggempur The Gunners bagi menyekat kemaraan lawan.

"Kami juga harus melakukan lebih banyak dengan bola dalam usaha mencipta peluang," tambahnya.

"Kami tidak menduganya tetapi selepas ini kami akan cuba menyesuaikan diri. Kami harus mencari jalan keluar tetapi gagal. Itulah sebabnya kami tidak berbahaya ketika mengatur gerakan bola tetapi seperti yang saya katakan, prestasi kami perlu jauh lebih baik."

Akibat kekalahan itu, skuad kendalian Ole Gunner Solskjaer berkenaan gagal memenangi satu pun pertemuan dengan empat seteru utama di Old Trafford buat pertama kalinya sejak 1972-73, kempen yang menyaksikan mereka menduduki tempat ke-18.

Selain itu, The Red Devils hanya memperoleh tujuh mata daripada enam perlawanan EPL setakat ini, jumlah terendah mereka di peringkat ini sejak David Moyes melakukannya pada 2013-14 (tujuh mata).

Ia juga buat julung kalinya United tewas kepada Arsenal di tempat sendiri dalam saingan liga sejak September 2006.