EVERTON 2 ARSENAL 1

Arsene Wenger berasakan kesilapan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg, menjadi punca kekalahan Arsenal selepas mereka tewas 2-1 kepada Everton di Goodison Park.

Arsenal membuka jaringan seawal minit ke-20 menerusi sepakan percuma Alexis Sanchez tetapi skuad kendalian Wenger gagal mempertahankan gol pendahuluan mereka apabila Seamus Coleman menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

Ashley Williams muncul wira The Toffees apabila menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Petr Cech, hasil hantaran Ross Barkley menerusi sepakan sudut pada minit ke-86.

"Pengadil telah membuat keputusan yang salah memberikan sepakan sudut kepada Everton dan mereka telah menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin," kata Wenger.

"Saya sangat kecewa kerana Clattenburg berada di posisi yang baik untuk melihat sebelum membuat keputusan. Ini bukan kali pertama kami tidak bernasib baik kerana pengadil gagal memberikan keputusan yang betul."

Pengurus Everton, Ronald Koeman, memberikan reaksi kepada Wenger yang sering menyalahkan keputusan pengadil setiap kali mereka menerima kekalahan.

"Saya tidak terkejut dengan ulasan Wenger, ini merupakan kali ketiga saya menewaskannya dan merupakan kali ketiga dia menyalahkan pengadil," katanya.