Sadio Mane menegaskan Liverpool telah belajar daripada kesilapan musim lalu tatkala mereka meneruskan cabaran memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Musim lalu, The Reds mengutip 97 mata tetapi mengakhiri saingan di belakang juara, Manchester City.

Namun, kini mereka berada di landasan tepat, meraih 52 mata selepas 18 perlawanan dan memiliki kelebihan 13 mata di puncak liga.

Mane, yang menjaringkan sembilan gol di pentas liga musim ini, berkata skuad kendalian Jurgen Klopp itu meraih banyak pengalaman daripada musim lalu, di mana mereka mempunyai kelebihan tujuh mata di kedudukan teratas liga ketika Januari tahun lalu.

"Jika anda terlepas kejuaraan liga, ia menyakitkan anda secara mental, jadi kami sentiasa fokus sasaran sama, kami mahu menang sesuatu," katanya.

"Kami belajar daripada kesilapan musim lalu. Ia detik sukar buat kami dan saya fikir seluruh pasukan telah banyak belajar daripadanya."

Liverpool menang 17 daripada 18 perlawanan liga musim ini untuk meraih kelebihan mata yang besar di kedudukan teratas.

Mane percaya pasukannya itu telah banyak meningkat berbanding musim 2018-19, sewaktu mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

"Saya fikir kami tampil lebih baik musim ini berbanding tahun lalu. Ia satu cabaran berbeza buat kami. Teruskan usaha dan cuba kekalkan pendahuluan," tambahnya.

"Saya fikir anda perlu berkorban ketika ini apabila berada dalam situasi kami. Anda perlu menyesuaikan diri dengannya dan teruskan kemaraan. Kami bekerja keras setiap minit untuk tampil lebih bagus."

Liverpool bakal melayan kunjungan pasukan tangga kelima, Wolverhampton Wanderers, awal pagi Isnin depan.


Editor: Nafis Abdullah