EVERTON 2 CRYSTAL PALACE 0

Pengurus Everton, Marco Silva, melakukan keputusan tepat dengan memasukkan pemain gantian, Dominic Calvert-Lewin dan Cenk Tosun, apabila kedua-dua pemain itu menghasilkan jaringan yang memastikan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.


Palace sepatutnya memperoleh jaringan pendahuluan pada sejam pertama perlawanan apabila Wilfried Zaha dijatuhkan dalam kotak penalti.

Namun, penjaga gol Everton, Jordan Pickford, menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Luka Milijovic.

Kegagalan itu kemudian dihukum Everton apabila Calvert-Lewin menyudahkan hantaran lintang daripada seorang lagi pemain gantian, Ademola Lookman, untuk meletakkan tuan rumah di depan ketika berbaki tiga minit sebelum masa sebenar tamat.

Tosun -- yang masuk 15 minit lebih awal berbanding dua rakannya -- menjaringkan gol kedua Everton menerusi serangan balas pantas.

Silva, bagaimanapun, enggan menerima sebarang pujian secara peribadi.

"Ia sememangnya tugas kami," kata Silva kepada Sky Sports.

"Kami berada di sini untuk meraih kemenangan. Ia bukan sekadar kesebelasan utama, malah tentang keseluruhan permainan.

"Kami melakukan tiga pertukaran dan ia berhasil.

"Cenk menjaringkan gol sebagai pemain gantian sejak dua perlawanan terakhir di laman kami.

"Dominic dan Lookman bergandingan menghasilkan gol pembukaan hari ini.

"Mereka berusaha keras untuk menyertai kesebelasan utama, kami harus memikirkan penyelesaian untuk permasalahan ini," tambahnya.

Sementara itu, pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, berasakan keputusan perlawanan itu terlalu kejam buat pasukannya sambil menekankan mereka seharusnya memenangi perlawanan tersebut.

"Dua jaringan pada minit ke-87 dan 89.

"Jaringan pertama itu membunuh kami. Jaringan kedua pula terhasil akibat kami terlalu banyak menyerang.

"Jaringan pertama menjadi punca segala-segalanya. Kami menguasai permainan dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

"Namun, kami tidak mampu menyudahkannya.

"Kami mampu bersaing dengan Everton walaupun mereka juga pasukan yang bekerja keras.

"Keadaan amat suram di bilik persalinan. Kami tidak sepatutnya tewas dalam perlawanan ini," katanya.