Pengendali Leicester City, Cloude Puel, menyatakan bahawa keputusan menentang Cardiff City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pertama mereka selepas kematian pemilik pasukan, Vichai Srivaddhanaprabha, tidak lagi penting buat pasukan itu.

Pengerusi Leicester, Srivaddhanaprabha, merupakan salah seorang daripada empat yang terkorban dalam nahas helikopter di luar Stadium King Power sejurus selepas aksi seri berdepan West Ham United, hujung minggu lalu.

Tragedi itu memberikan kesan emosi yang besar kepada pasukan yang akan bertandang ke laman Cardiff City, malam esok, selepas aksi menentang Southampton dalam Piala EFL terpaksa ditangguhkan.

Puel mendedahkan barisan pemainnya sebulat suara mahu meneruskan aksi liga berkenaan sebagai tanda memperingati pemergian Srivaddhanaprabha.

"Perlawanan dan keputusan itu tidak lagi penting buat kami, namun keinginan dan tindakan kami adalah untuk memberikan aksi yang terbaik bagi memperingati pengerusi kami," kata pengurus Leicester itu.

"Keputusan perlawanan itu adalah perkara kedua. Apa yang utama adalah keadaan dan fokus kami.

"Kami sudah bersedia tetapi saya harapkan kami dapat mengimbangi antara emosi dan keyakinan kami kerana jika kami terus kekal dengan emosi seperti itu, ia akan menjadi semakin sukar.

"Saya yakin selepas melihat pemain-pemain saya sewaktu sesi latihan, mereka mampu memberikan aksi terbaik.

"Saya harap kami dapat melupakan emosi itu buat seketika untuk aksi di atas padang dan bukan di luar padang.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk diteruskan dan saya berasakan kesemua pemain kami sudah bersedia untuk bersaing," katanya.