Ralph Hasenhuttl diberi lampu hijau untuk mengakhiri tempoh kuarantin selepas menjalani ujian ekstensif COVID-19, menurut Southampton.

Pengurus The Saints itu tersisih ketika pasukannya seri 0-0 dengan West Ham dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), Rabu lalu, kerana perlu menjalani kuarantin berikutan isterinya positif pandemik berkenaan di sebalik tidak menunjukkan gejala.

Ujian calitan isterinya kemudian didapati tidak tepat dan selepas dua lagi ujian terhadap keluarganya negatif, dia lalu dibenarkan kembali ke pangkalan latihan Southampton, Staplewood Campus, mulai 1 Januari.



Satu kenyataan kelab menjelaskan: "Southampton Football Club mengesahkan ujian calitan dan atas nasihat Liga Perdana, Ralph Hasenhuttl telah mengakhiri tempoh pengasingannya dan kembali ke Staplewood Campus.

"Pada 28 Disember, isteri Ralph didapati positif COVID-19 tanpa menunjukkan sebarang gejala. Ralph segera mengasingkan diri sesuai mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Selepas berunding dengan penasihat perubatan Liga Perdana, hasil ujian itu disifatkan tidak tepat.

"Di bawah bimbingan kedua pasukan perubatan Southampton dan penasihat perubatan Liga Perdana, kami kini yakin bahawa ujian asalnya adalah tidak tepat dan Ralph kini boleh kembali ke Staplewood dan mengendalikan latihan bermula hari ini."

Southampton akan bertemu Liverpool di di tempat sendiri Selasa ini.

Pandemik itu merebak di Manchester City menyebabkan perlawanan di Everton pada Isnin lalu ditunda empat jam sebelum sepak mula sementara aksi Tottenham dan Fulham, kelmarin, dihentikan akibat kebimbinangan penularan di kem Cottagers.

Liga Perdana pada Selasa lalu mengesahkan 18 kes positif baru ketika melakukan rutin ujian calitan pada 21 Disember lalu.