Kepercayaan bantu Arsenal kembali menang -- Ljungberg

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2019 1802
Kepercayaan bantu Arsenal kembali menang -- Ljungberg
WEST HAM 1 ARSENAL 3

Freddie Ljungberg berasakan faktor kepercayaan menjadi kunci Arsenal mengubah nasib mereka untuk menamatkan kemarau tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan West Ham 3-1 di Stadium London awal pagi tadi.


Selepas terikat dengan Norwich City dan tewas kepada Brighton and Hove Albion dalam dua perlawanan pertama sejak pengurus sementara itu menggantikan Unai Emery, keadaan itu seakan-akan akan berterusan apabila Angelo Ogbonna meletakkan West Ham di depan pada minit ke-38.

Arsenal kehilangan khidmat Hector Bellerin dalam sesi memanaskan badan manakala Kieran Tierney mengalami kecederaan bahu dalam separuh masa pertama tetapi The Gunners bangkit dalam babak kedua untuk menewaskan seteru London itu.

Gol pertama Gabriel Martinelli dalam Liga Perdana membolehkan mereka menyamakan kedudukan sebelum Nicolas Pepe melengkungkan bola untuk meletakkan pasukannya di depan dan Pierre-Emerick Aubameyang melengkapkan tiga jaringan Arsenal dalam tempoh sembilan minit.

Kemenangan itu meletakkan Arsenal di tangga kesembilan liga dengan perbezaan tujuh mata daripada pasukan di kelompok empat teratas dan Ljungberg berkata kepada Sky Sports: "Ia amat bermakna buat setiap pemain. Mereka selama ini hidup dengan tekanan dan anda dapat melihatnya daripada prestasi mereka.

"Saya dapat rasa yang West Ham sudah keletihan dan hantaran kami semakin enak.

"Pemain kami amat luar biasa.

"Mereka bangkit dalam babak kedua. Mereka bekerja keras dan itulah yang sedang kita bincangkan.

"Segalanya terpulang kepada pemain, saya hanya membimbing mereka.

"Anda dapat lihat pemain kami agak rendah diri dan anda dapat melihat kelegaan dan kegembiraan mereka dalam bilik persalinan.

"Kami menikmati malam ini dan akan meneruskannya esok.

"Kami perlu meningkatkan kepercayaan kami, itulah yang akan mengubah segala-galanya," katanya.

Mesut Ozil dan Aubameyang menyuarakan pendapat yang sama selepas tamat perlawanan.

"Terutama dalam babak kedua, kami telah menunjukkan apa yang boleh kami lakukan di atas padang jika kami percayakan diri sendiri.

"Kami berhak menikmati kemenangan ini dan sekarang, kami amat gembira, terutama buat penyokong kami," kata Ozil kepada Sky Sports.

Aubameyang menambah: "Dalam waktu rehat, Freddie memberitahu kami supaya bermain dengan tempo yang lebih tinggi.

"Ia sukar tetapi kami memiliki kualiti dalam pasukan ini dan jika kami percaya kepada diri sendiri, kami boleh mengubah keadaan dan memenangi perlawanan.

"Kami akan mengambil aksi dalam babak kedua itu sebagai contoh untuk sepanjang musim ini," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen