Pemilik saham Everton, Farhad Moshiri, percaya menguruskan The Toffees merupakan salah satu tugas paling sukar dalam bola sepak.

Pelantikan Carlo Ancelotti sebagai pengurus Everton telah disahkan Sabtu lalu sebelum pengurus sementara, Duncan Ferguson, memastikan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Arsenal.

Ancelotti, yang telah diperkenalkan secara rasmi kepada media semalam, mengambil alih Everton yang kini meraih kelebihan empat mata daripada zon penyingkiran, dua minggu selepas Marco Silva dipecat.

Moshiri menyedari pengendali kelahiran Itali itu bakal menghadapi tugas sukar tetapi percaya pengalaman Ancelotti membenarkan beliau untuk menangani setiap jangkaan di Goodison Park.

"Everton adalah tugas yang sukar kerana anda hanya ketinggalan dua kekalahan di laman sendiri untuk dibenci oleh penyokong," kata Moshiri.

"Ia sangat sukar dan pengendali yang masih muda gagal untuk menangani tekanan. Kerana ketika anda mengharungi saat sukar, penyokong tidak berada di samping anda.

"Kekuatan Goodison hadir daripada semangat penyokong. Apabila anda kehilangannya, anda akan tewas.

"Saya berasakan ia merupakan satu tugas yang paling sukar dalam bola sepak. Kami tidak memiliki asas kewangan yang kuat tetapi harapan penyokong amat tinggi.

"Kadangkala jangkaan diletakkan terlalu tinggi terhadap pengendali muda. Ia adalah sebab kami kini berharap kepada pengurus lebih berpengalaman untuk menangani tekanan dengan lebih baik."

Moshiri telah melantik dan memecat Ronald Koeman, Sam Allardyce dan Silva sepanjang bersama Everton di samping turut menamatkan khidmat Roberto Martinez pada 2016.

Bagaimanapun, Moshiri menjelaskan mana-mana pengurus memerlukan tuah.

"Silva merupakan seorang pengurus yang berbakat tetapi jika tuah tidak menyebelahi anda, apa yang mampu dilakukan?" katanya.

"Kami kehilangan enam mata berpunca daripada VAR, dia kehilangan hampir 70 peratus daripada pemain tengah. Tetapi seorang jeneral yang bagus selalunya bertuah. Kami berharap mendapat seorang jeneral yang bertuah.

"Ferguson telah memberikan semula semangat serta kepercayaan tetapi kami masih lagi perlu berdepan perlawanan yang sukar.

"Kami akan bertemu Burnley di laman sendiri sebelum bertandang untuk berdepan Manchester City dan Liverpool. Kesemua perlawanan ini bakal mengerah setiap pemain tetapi perkara paling penting adalah mereka kembali meraih semula kepercayaan."