Kemenangan United dibayangi kecederaan McTominay

Oleh Staff Writer 27 Disember 2019 276
Kemenangan United dibayangi kecederaan McTominay
MAN UTD 4 NEWCASTLE 1

Ole Gunnar Solskjaer percaya Scott McTominay mengalami kecederaan ligamen lutut ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Newcastle United awal pagi tadi.


Pemain tengah, McTominay, mengalami kecederaan pada permulaan aksi sehari selepas Hari Krismas di Old Trafford, namun kekal di atas padang hingga tamat separuh masa pertama.

Pemain kebangsaan Scotland itu digantikan oleh Paul Pogba dan meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut, satu kebimbangan buat The Red Devils dengan jadual padat yang perlu diharungi ketika ini.

Solskjaer masih belum mengetepikan McTominay -- yang dilayangkan kad kuning seawal 24 saat kerana melakukan terjahan terhadap Sean Longstaff -- untuk aksi berdepan Burnley, Sabtu ini di samping memuji pemain itu yang meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan.

"Dia mungkin mengalami kecederaan ligamen lutut. Kami tidak tahu betapa teruk keadaannya lagi," kata Solskjaer.

"Dia merupakan antara pemain yang berhati cekal. Dia meneruskan permainan hingga tamat separuh masa untuk pasukan. Kami akan cuba mengenal pasti keadaannya esok.

"Anda dapat melihat perwatakan yang dipamerkan pada permulaan permainan. Saya tidak pasti dia dapat diturunkan berdepan Burnley. Mungkin tidak, namun kami pernah melihatnya kembali pulih sebelum ini."

Matty Longstaff memberikan gol pendahuluan buat Newcastle tetapi Manchester United --yang tewas 2-0 kepada Watford dalam aksi terdahulu -- bangkit dengan cemerlang dengan menggunakan peluang di sebalik pertahanan longlai pasukan lawan untuk meraih tiga mata.

Anthony Martial menjaringkan dua gol sementara Mason Greenwood dan Marcus Rashford turut menemui sasaran, dengan United mendominasi permainan pada awal separuh masa kedua yang membenarkan Solskjaer merancang perlawanan seterusnya dengan pertukaran yang dilakukan.

"Saya berasakan kami beraksi cemerlang hari ini. Sememangnya kami ketinggalan 1-0 pada awal permainan.

"Namun, sepanjang musim ini, selepas kami tewas, kami akan bangkit dalam perlawanan seterusnya. Jadi, ia merupakan aksi yang cemerlang buat kami hari ini.

"Pemain-pemain menampilkan perwatakan  cemerlang hari ini, mereka menggunakan peluang sebaik mungkin serta tidak berputus asa."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen