Ole Gunnar Solskjaer memuji persembahan Manchester United dalam babak pertama ketika menentang Tottenham Hotspur dengan menyifatkannya sebagai aksi terbaik sejak sekian lama.

United gagal mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan bagi semua kejohanan sebelum berdepan Jose Mourinho buat kali pertama sejak pemecatannya selaku pengurus di Old Trafford.

Namun, skuad kendalian Solskjaer, United, menamatkan permulaan cemerlang Mourinho di Spurs dengan kemenangan 2-1 hasil gol dalam setiap babak menerusi Marcus Rashford.

Dele Alli menghasilkan jaringan penyamaan yang menakjubkan enam minit sebelum rehat di mana Solskjaer mendakwa sukar untuk mengawal permainan selepas itu.

"Lebih-lebih lagi dalam babak pertama, ia mungkin aksi terbaik kami sejak sekian lama," katanya.

"Kami mendominasi permainan dan patut dapat menamatkan perlawanan lebih pantas.

"Terdapat beberapa aksi menarik daripada penjaga gol lawan tetapi mereka meraih jaringan sebelum rehat dan anda memikirkan untuk datang ke sini, tenangkan diri dan mulakan semula."

Pengendali United itu menambah: "Kami bagus apabila mendahului, melakukan serangan pantas dan tampil agresif. Saya fikir pemain mengikut perancangan dan menampilkan semua kemampuan yang ada."

Dia juga memuji persembahan hebat Rashford yang menyaksikan banyak percubaannya dinafikan Paulo Gazzaniga.

Rashford berbesar hati dapat menemui jaringan ketika menentang pasukan lain dalam kelompok 'Enam Terbesar' walaupun dia sedar United masih perlu meningkatkan prestasi menentang lawan lebih lemah selepas diikat Sheffield United dan Aston Villa dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Saya fikir ia detik paling sukar untuk kami mendapatkan keputusan," katanya.

"Namun, berbekalkan posisi kami ketika ini, saya mahukan aksi sebegini.

"Kami mahu menunjukkan bahawa kami boleh menentang pasukan besar. Kami sedar perlu meningkatkan prestasi berdepan pasukan lain. Perlawanan demi perlawanan, kami cuba untuk meningkat."