Pengurus Huddersfield Town, David Wagner, menyifatkan bahawa dia memperoleh kemenangan paling penting dalam tempoh tiga tahun sebaik pasukannya itu menewaskan Fulham 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Wagner meraikan ulang tahun ketiganya bersama Huddersfield menerusi kemenangan yang telah lama dinanti-nantikan sejak awal musim lalu.

Kemenangan itu juga merupakan yang ke-50 buatnya selaku pengendali Huddersfield selepas Timothy Fosu-Mensah terjaring gol ke gawang sendiri pada minit-29.

Kejayaan itu menyaksikan mereka menamatkan kemarau 658 minit tanpa jaringan di laman sendiri yang turut melonjakkan mereka ke tangga ke-18 liga manakala Fulham terpaksa akur terjerumus ke kedudukan tercorot.

Wagner memberitahu Sky Sports: "Saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol dan bagaimana prestasi kami. Semua orang tahu kami mampu beraksi lebih baik. Tekanan memuncak buat kedua-dua pasukan. namun kami membuktikan bahawa kami mampu bangkit.

"Kami layak menang. Kami menguasai babak pertama dan kami berjaya menyekat mereka dalam separuh masa kedua.

"Kemenangan ini amat bermakna buat kami. Kami dapat merasai kembali suasana kemenangan.

"Sudah pasti ini kemenangan terpenting saya sepanjang tempoh tiga tahun bersama mereka.

"Setiap pemain perlu kembali memperoleh keyakinan ini. Ia amat bermakna buat kami.

"Tiada apa lebih penting selain perasaan dalam kemenangan ini.

"Saya dapat lihat muka-muka yang tersenyum dalam bilik persalinan," katanya.

Kekalahan liga kelima berturut-turut menambahkan tekanan buat pengurus Fulham, Slavisa Jokanovic, namun dia mengekalkan keyakinan bahawa dia mampu mengeluarkan pasukannya itu daripada kedudukan bahaya menjelang 27 aksi yang berbaki.

"Saya mempercayai diri saya. Mereka tahu bagaimana saya bekerja sepanjang dua tahun ini," kata Jokanovic kepada Sky Sports.

"Proses ini tidak bermula baik. Banyak lagi perlawanan yang akan tiba dan kami perlu meningkatkan tahap permainan kami.

"Saya memikirkan tentang diri dan pasukan saya.

"Kami bukan di tahap terbaik dan kami akan meningkatkannya nanti," katanya lagi.