Frank Lampard berbesar hati dengan cara Chelsea bangkit daripada persembahan suram dalam babak pertama untuk menewaskan Arsenal di Emirates semalam.

Persembahan tidak konsisten The Blues berterusan tatkala kemenangan 2-1 diraih menerusi jaringan lewat Jorginho dan Tammy Abraham walaupun sebelum itu mereka di ambang kekalahan kedua berturut-turut susulan jaringan Pierre-Emerick Aubameyang.

Selepas tewas di tangan Southampton sehari selepas Krismas, Chelsea jelas berbeza berbanding pasukan yang mendominasi dan menundukkan Tottenham Hotspur di tempat lawan itu minggu lalu.

Namun, Lampard mendakwa pasukan kendaliannya, Chelsea, menampilkan semangat dalam babak kedua sambil pengendali itu tidak mahu menerima pujian walaupun membuat pertukaran taktikal berbeza dengan 3-4-3 ketika menewaskan Spurs.

"Kami teruk dalam 30 minit pertama. Perlahan dan gugup, berbeza dengan aksi menentang Spurs," katanya.

"Kami memberikan Arsenal semuanya yang mereka mahu.

"Kami membuat pertukaran awal, rasa seperti sudah tamat. Dalam separuh masa kedua, kami mendominasi.

"Selepas 10 minit, jelas sekali Arsenal telah menonton aksi kami menentang Spurs dan ia membuatkan kami berubah daripada tiga pertahanan kepada lima bek.

"Mereka di tahap terbaik dan kami kurang keseimbangan. Pemain gantian menambah pilihan di bahagian tengah dan menawarkan lebih banyak serangan.

"Daripada pandangan saya, anda boleh menerima kegagalan hantaran tetapi tidak boleh menerima dalam aksi seteru London. Pemain diberitahu ketika rehat dan ia berhasil.

"Dalam separuh masa kedua, tiada perubahan taktikal tetapi mereka menyampaikan."

Bagaimanapun, kemenangan dramatik itu tidak cukup untuk memadam kekecewaan Chelsea tewas di tangan Southampton di laman sendiri.

"Saya masih belum bangkit daripada mentaliti 'Boxing Day," tambah Lampard.

"Dalam aksi kami seterusnya , kami akan lakukan apa sahaja yang mampu untuk mengubah situasi.

"Kami kini di kedudukan keempat dan mahukan lebih lagi. Aksi di laman sendiri sememangnya berbeza. Jadi, kami harus fokus kepada mereka apabila hadir ke sini."


Editor: Nafis Abdullah