SHEFFIELD UNITED 3 MANCHESTER UNITED 3

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menganggap Sheffield United lebih berkemahuan tinggi ketika kedua-dua pasukan seri 3-3 dalam perlawanan di Bramall Lane awal pagi tadi.


The Red Devils beraksi hambar ketika menentang pasukan bimbingan Chris Wilder itu dan ketinggalan 0-2 selepas 52 minit permainan menerusi gol daripada John Fleck dan Lys Mousset.

Tiga gol daripada Brandon Williams, Mason Greenwood dan Marcus Rashford dalam tempoh tujuh minit meletakkan United meniti landasan kemenangan tetapi Oli McBurnie meledakkan gol terakhir perlawanan untuk memastikan mereka berkongsi mata.

"Sukar untuk menjelaskannya tetapi Sheffield kelihatan lebih berkemahuan daripada kami," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Mereka percaya dengan kemampuan yang ditonjolkan tetapi kadang-kadang jurangnya adalah kecil.

"Kami hanya membuat satu percubaan tepat dalam babak pertama dan itu sesuatu yang sukar diterima, ia tidak cukup bagus.

"Ini adalah bola sepak. Adakala ia melangkau taktik; ia mengatasi keghairahan dan apa yang memacu dalam permainan.

"Penyokong dan tenaga pasukan lawan menjadi dorongan buat mereka untuk lebih bernafsu daripada kami dalam babak pertama dan ia membawa kepada perbezaan yang besar. Kemudian kami mendapat gol dan tenaga kami kembali semula dan keyakinan pemain mulai hadir. "

Walaupun gagal mengekalkan kelebihan gol untuk memungut tiga mata, Solskjaer percaya kebangkitan pasukannya yang ketinggalan dengan dua gol membuktikan bahawa mereka telah bertambah baik sejak musim lalu.

"Jurang perbezaan di antara pasukan ini dan pasukan musim lalu sangat besar," katanya.

"Ketika tercicir 0-2, fikiran saya mula menyorot kembali perlawanan dengan Everton (kekalahan 0-2 pada April lalu).

"Musim lalu, dalam perlawanan seperti ini, kami akan ditundukkan dengan tiga, empat atau lima gol. Ini adalah satu langkah yang besar buat mereka, kebangkitan daripada ketinggalan 0-2, kemudian dapat mendahului 3-2, sudah tentu perkara seperti ini (seri 3-3) boleh berlaku.

"Ia adalah satu emosi yang bercampur-baur. Kami tidak boleh gembira memandangkan kami tidak mendominasi permainan tetapi sikap dan cara pemain untuk mengubah rentak perlawanan telah membuktikan keupayaan sebenar kami."