Pengurus Tottenham Hotpsur, Jose Mourinho, berasakan dia berada di "kelab terbaik dan terbesar di dunia" menjelang pertemuan dengan bekas pasukannya, Chelsea, yang dibimbing anak muridnya, Frank Lampard.

Mourinho melalui dua era di Stamford Bridge dengan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam setiap era tersebut dan Spurs akan menantikan kunjungan Chelsea dalam liga awal pagi Isnin ini.

Tottenham kembali ke landasan kemenangan sejak Mourinho menggantikan Mauricio Pochettino bulan lalu dan mereka hanya ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Pengurus berbangsa Portugis itu tidak gusar untuk menguruskan emosinya ketika berdepan Chelsea dengan mendakwa kelabnya merupakan kelab yang lebih besar berbanding skuad The Blues itu.

"Saya 100 peratus Tottenham," katanya dalam sidang media.

"Saya sentiasa 100 peratus untuk kelab saya dan tiada ruang untuk bekas kelab saya.

"Saya memberikan segala-galanya buat mereka tetapi mereka adalah bekas pasukan saya.

"Kelab saya adalah Tottenham, jadi ia amat mudah.

"Tidak sukar untuk menentukannya daripada aspek emosi.

"Kelab saya sentiasa yang terbaik di dunia.

"Yang terbaik, terbesar di dunia.

"Ia sentiasa kelab saya, sentiasa," katanya.

Spurs menerima suntikan semangat semalam apabila Toby Alderweireld menandatangani kontrak baru di Stadium Tottenham Hotspur.

Pemain kebangsaan Belgium itu, yang dikaitkan untuk meninggalkan kelab itu, akan memegang status ejen bebas pada tahun depan, namun membuktikan komitmennya untuk memanjangkan perkhidmatan selama tiga setengah tahun lagi.

Christian Eriksen dan rakan sepasukan Alderweireld dalam skuad kebangsaannya, Jan Vertonghen, masih belum memperbaharui kontrak dengan Spurs dan Mourinho menjelaskan kepentingan pertahanan berusia 30 tahun itu.

Ditanya sama ada dia mendatangkan pengaruh untuk Alderweireld menandatangani kontrak baru atau tidak, Mourinho menambah: "Saya tidak fikir begitu, apabila saya membaca komennya, apa yang saya nampak, dia tidak berasa gembira selain berada di sini.

"Sedikit pengaruh yang saya bawa adalah dengan meyakinkannya kepercayaan saya terhadapnya.

"Dia bermain dalam setiap minit dalam setiap perlawanan.

"Saya tidak fikir ia efek domino (terhadap perbincangan kontrak pemain lain), saya fikir setiap pemain mempunyai situasi berbeza," tambahnya lagi.