Peningkatan mendadak Liverpool di bahagian pertahanan bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya hasil kerja keras di padang latihan, kata pemain pertahanan, Joe Gomez.

Sejak Jurgen Klopp mengambil alih jawatan sebagai pengurus Liverpool pada 2015, The Reds jarang berdepan masalah merobek gawang lawan.

Begitupun, persembahan pertahanan mereka sering dikritik dengan pemerhati bola sepak menganggap mereka pasti telah menjulang kejuaraan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun yang lalu sekiranya tidak berdepan masalah sedemikian -- bukannya menduduki tempat keempat berturut-turut seandainya benteng mereka lebih kebal.

Mereka hanya dibolosi 38 kali musim lalu yang menempatkan mereka di tangga keempat selaku pasukan paling kurang dibolosi, namun Liverpool masih dibolosi lebih 11 gol daripada juara, Manchester City.

Berikutan kemenangan 1-0 di Huddersfield Town semalam, pintu gol Liverpool hanya dirobek tiga jaringan dalam sembilan perlawanan liga -- jumlah yang sama seperti City -- dan oleh itu, Gomez berasakan ia hasil daripada kerja keras dalam latihan.

"Kami berusaha gigih dalam latihan untuk bertahan sebagai sebuah unit dan ia membuahkan hasil," kata Gomez kepada Liverpool Echo.

"Itulah yang kami mahukan -- mengekalkan rekod bersih. Ia membantu daripada segi pertahanan sejak musim lalu.

"Kami telah mengharungi banyak perlawanan bersama-sama. Tiada tambahan muka baru di bahagian pertahanan pada musim ini.

"Ini mengenai komunikasi dan mengetahui corak permainan masing-masing. Terdapat pemahaman yang baik mengenainya tetapi ini adalah permulaan yang baik.

"Ini adalah asas untuk musim depan, ada banyak cara untuk menghadapinya dan kami harus terus mengekalkan tabiat itu.

"Ia merupakan usaha berpasukan -- ia bukan hanya mengenai keempat-empat pertahanan, ini tentang bagaimana cara pasukan bertahan. Kami melakukannya bersama-sama.

"Ada keinginan dan sikap yang jitu untuk mematahkan serangan pihak lawan dan kami melakukannya bersama-sama.

"Ia bermula dari bahagian depan. Jika mereka memecahkan barisan pertama, rakan-rakan yang lain mampu menyekat gerakan tersebut.

"Ini membantu kami sebagai pemain pertahanan dan meletakkan kami kurang tertekan. Oleh itu, apabila kami perlu bertahan, kami tidak perlu melakukannya sepanjang permainan."