Frank Lampard percaya dibelasah 0-4 oleh Manchester United tidak mencerminkan kemampuan sebenar Chelsea.

Lampard memulakan aksi pertamanya untuk mengemudi The Blues dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak dilantik menggantikan Maurizio Sarri sebagai pengurus dan percaya mereka menguasai tempo permainan untuk tempoh yang lama.

Begitupun, jaringan penalti Marcus Rashford selepas dikasari Kurt Zouma, disusuli Cesar Azpilicueta dihukum oleh Anthony Martial dan rakan di bahagian serangannya itu.

Daniel James, yang membuat penampilan pertama, menyempurnakan kemenangan bergaya mereka untuk Lampard meratapi kesilapan individu anak buahnya tetapi dia menegaskan United tidaklah begitu unggul seperti jaringan yang terpapar.

Ketika ditanya apakah keputusan itu terlalu berat buat Chelsea, Lampard memberitahu Sky Sports: "Tidak diragui lagi. Empat kesilapan kami menghasilkan empat gol, ayuh keluar daripada situasi ini kerana kami harus kritikal terhadap diri sendiri.

"Selain daripada itu, kami menguasai permainan sepanjang tempoh 60 minit. Kami menguasai babak pertama dan percubaan kami menggegar palang selain deretan peluang yang melintasi pintu gol.

"Kami tidak bertindak dengan baik di kubu lawan tatkala kami sepatutnya melepaskan rembatan dan menjaringkan gol, kami seharusnya memimpin perlawanan dalam separuh masa pertama.

"Sekali lagi, dalam babak kedua, saya tidak kisah ketinggalan tetapi gol kedua dan ketiga menyusul akibat dua kesilapan dan keadaan bertambah mudah buat lawan ketika mendahului 3-0.

"Ketika di kedudukan 0-1, kami merupakan pasukan yang lebih baik tetapi saya tidak boleh berdiri di sini dan kelihatan gembira kerana kami kalah 0-4.

"Kami berdepan sebuah pasukan yang gemar melancarkan serangan balas, mereka memiliki kemampuan itu. Kami tahu kepantasan mereka dan jika anda memberikan peluang untuk mereka bermain di belakang pertahanan, maka mereka akan melakukannya.

"Kami tidak membenarkannya dalam sebahagian besar perlawanan. Peluang kami lebih cerah dan kami mencipta banyak peluang, cuma penyudah kami tidak bagus, tetapi permainan kami sangat memberangsangkan dalam babak pertama, jadi kami menimba banyak pengajaran.

"Anda tidak boleh membuat sebarang kesilapan di tahap ini dan berdasarkan corak permainan kami, 0-4 bukanlah keputusan yang wajar."