Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, berpendapat sifat kurang keinginan yang ditampilkan pemain The Red Devils adalah sesuatu yang mengerikan selepas tewas 3-1 di tangan Liverpool, awal pagi tadi.

Liverpool meraih tiga mata hasil dua jaringan lewat Xherdan Shaqiri tatkala bintang Switzerland itu yang masuk sebagai pemain gantian pada pertengaha separuh masa kedua, beraksi cemerlang untuk memadamkan kesilapan awal penjaga gol, Alisson.

Bintang Brazil, Alisson, menghadiahkan gol kepada Jesse Lingard untuk menyamakan kedudukan dalam babak pertama setelah Sadio Mane membuka tirai jaringan buat The Reds.

Namun, selepas pengurus pasukan, Jose Mourinho, mendakwa pasukannya hanya mampu untuk menduduki tempat keempat liga, Keane melihat United kini kian terdesak.

"Ia sesuatu yang mengerikan. Anda mendengar pengurus yang berfikir mereka boleh menduduki tangga keempat liga. Namun, itu bukan kedudukan sekarang," kata bekas bintang United, Keane.

"Secara realiti, anda telah melihat United. Mungkin benar bahawa tempat keempat liga adalah kedudukan terbaik yang boleh diraih.

"Jika anda lihat kepada pasukan hari ini dan anda hadir dari bulan tanpa mengetahui sebarang isu bola sepak, anda akan berfikir United adalah pasukan pertengahan liga.

"Namun, jelas sekali bahawa sesetengah pemain tidak cukup bagus untuk United berdasarkan sejarah, lambang pasukan serta tanda harga yang dipegang.

"Anda harus melakukan pelaburan semula, menuju penghujung musim dengan mendapatkan tangga keempat walaupun Manchester United berhak meraih lebih daripada itu."

Antara perkara yang menjadi perhatian adalah Paul Pogba hanya diletakkan di bangku simpanan untuk kali ketiga berturut-turut dalam saingan liga.

Keane menjangkakan Pogba akan berpindah penghujung musim ini dan tidak berasa kehadiran semula bintang Perancis itu akan memberi kesan besar kepada pasukan.

"Saya rasa hanya ada satu atau dua masalah seperti tidak dapat menampilkan prestasi hebat," tambah Keane.

"Saya tidak rasa mereka mampu melakukan apa-apa tetapi lepaskan sahaja ketika Januari.

"Ia bukan sesuatu yang menyusahkan kerana dia juga pernah meninggalkan United. Saya akur pemain turun beraksi mempamerkan aksi terbaik tetapi ia tidak cukup kerana kekurangan kualiti."