Luis Enrique meluahkan keluhan terhadap kesilapan yang dilakukan pemainnya yang menjadi punca Manchester City mengikat kedudukan sebelum Barcelona tumbang 3-1 di Stadium Etihad dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pengurus Barcelona itu menganggap detik itu sebagai titik tolak kebangkitan The Citizens dalam perlawanan itu.

Lionel Messi terlebih dahulu meletakkan Barca di hadapan pada minit ke-21, namun kesilapan Sergi Roberto yang membuat hantaran di bahagian pertahanan disambar oleh Ilkay Gundogan untuk gol penyamaan pada minit ke-39.

Kevin De Bruyne memberikan City kelebihan menerusi sepakan percuma sebelum Gundogan sekali lagi menemui sentuhan penyudah, 16 minit sebelum waktu sebenar permainan tamat.

Dengan demikian, hutang dendam kekalahan 4-0 mereka di Camp Nou berjaya dilangsaikan.

"(40 minit pertama permainan) adalah salah satu permainan terbaik yang pernah kami persembahkan, khususnya ketika menghadapi pencabar hebat seperti ini," terang Enrique.

"Kami bermain dengan sangat baik.

"Adalah memalukan sejurus kesilapan dibolosi gol pertama, kami mula mempamerkan aksi buruk.

"Sudah menjadi kelaziman apabila anda melepaskan gol sebegitu, anda akan melalui tempoh buruk."

Enrique, bagaimanapun, tetap memuji tempo tinggi yang diterapkan City, dengan memberi tekanan tinggi pada separuh masa kedua.

"Pada babak kedua, kami berharap untuk menguasai permainan, namun gagal kerana kesilapan yang dilakukan dan tekanan yang diberikan lawan," tambahnya.

"City mengambil peluang di atas kesilapan kami. Mereka mempunyai pemain berkualiti. Mereka memberi tekanan secara agresif dan mendorong kami melakukan kesilapan.

"Kami memerlukan empat mata lagi untuk layak, dan itulah yang perlu kami fokus."

Enrique turut enggan menggunakan alasan ketiadaan beberapa tonggak utamanya akibat kecederaan seperti Andres Iniesta, Jordi Alba dan Gerard Pique.

Barcelona kini mengungguli Kumpulan C dengan dua mata mengatasi City selepas empat perlawanan.