Kecederaan Mina jejas persiapan Everton 

Oleh Shaiful Shamsudin 3 Jun 2020 50
Kecederaan Mina jejas persiapan Everton 
Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, menerima tamparan menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila bekas pertahanan Barcelona, ​​Yerry Mina, mengalami kecederaan otot paha.

Tonggak kental di bahagian pertahanan tengah skuad itu musim ini telah tampil dalam 25 daripada 29 perlawanan selain mencetak dua gol.

Namun, peluang untuknya beraksi sebaik kempen EPL bersambung pertengahan bulan ini tampak tipis. 

Kelabnya itu dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka berkata: "Everton mengesahkan Yerry Mina akan diketepikan selama beberapa minggu setelah mengalami kecederaan otot.

"Ujian imbasan mengesahkan pemain antarabangsa Colombia itu mengalami sedikit luka di otot kiri pahanya ketika sesi latihan minggu lalu.

"Pemain berusia 25 tahun itu kini berada di tahap awal pemulihannya di bawah pemantauan kakitangan perubatan kelab dan menunjukkan perkembangan yang baik."

Mina menandatangani kontrak bernilai €30 juta (RM143.4 j) daripada Barcelona pada Ogos 2018, hanya beberapa minggu setelah menjaringkan tiga gol untuk negaranya dalam Piala Dunia.

EPL dijadualkan kembali setelah terjejas selama tiga bulan akibat COVID-19 apabila dua perlawanan akan dilangsung 17 Jun ini.

 

The Toffees menduduki tangga ke-12 saingan sebelum musim tertangguh, enam mata di belakang Wolves yang menduduki tangga keenam.

Perkembangan ini juga menjejaskan persiapan Everton selepas pemain tengah, Jean-Philippe Gbamin, mengalami kecederaan tumit yang serius ketika menjalani latihan sekali gus akan menyisihkannya sepanjang musim ini.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen