Kecederaan Mane rencat kemenangan Liverpool

Oleh Staff Writer 24 Januari 2020 3066
Kecederaan Mane rencat kemenangan Liverpool
WOLVES 1 LIVERPOOL 2

Sadio Mane mengalami kecederaan hamstring tetapi Liverpool masih tidak mengetahui tahap masalah tersebut, jelas pengurus, Jurgen Klopp.


Bintang Senegal itu dikeluarkan dalam separuh masa pertama ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menang 2-1 di Wolves awal pagi tadi.

Mane mengalami kecederaan tersebut ketika berusaha mengejar hantaran Mohamed Salah dan digantikan oleh Takumi Minamino selepas 33 minit perlawanan berlangsung.

Klopp berharap kecederaan itu tidak serius tetapi perlu menunggu terlebih dahulu sehingga pemeriksaan lanjut dilakukan.

"Sangat kecewa menyaksikan Mane meninggalkan padang," katanya. "Kami berharap ia tidak begitu serius, sekadar kekejangan otot. Tetapi kami akan melihat dengan lebih teliti esok.

Klopp berkata lagi, "Dia dapat berasakan sesuatu pada hamstringnya. Kami masih tidak mengetahui lagi dan perlu menunggu."

Jaringan pembukaan Jordan Henderson diimbangi oleh Raul Jimenez dan Wolves kelihatan dapat berkongsi mata sebelum Roberto Firmino meledak gol kemenangan pada minit ke-84.

Klopp, yang menerima pasukannya tidak berada di tahap terbaik, kecewa dengan jaringan yang diperoleh Wolves, namun gembira di sebalik sentuhan klinikal Firmino.

"Kami menjaringkan gol yang cantik. Mengawal permainan tetapi cara Wolves mendapatkan jaringan sangat berkualiti.

"Jaringan daripada serangan balas tidak masuk akal ketika anda mendahului perlawanan dengan satu jaringan.

"Kami mengubah sistem permainan dua atau tiga kali, cuba mengawal keadaan. Kami memiliki peluang dalam separuh masa pertama dan akhirnya sentuhan Firmino membenarkan kami meraih kemenangan."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen