Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berharap Kevin De Buryne yang kembali cergas akan menjadi pemangkin buat pasukannya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, musim ini.

De Bruyne merupakan watak penting ketika City menjuarai liga musim lalu selepas menghimpunkan 100 mata.

Dia juga merupakan bintang yang membantu Belgium ke separuh akhir Piala Dunia di Russia, Julai lalu.

Namun, kecederaan ligamen di kedua-dua lututnya menyaksikan dia hanya melakukan lima penampilan buat City, musim ini.

City akan bertemu Everton di Stadium Etihad, malam ini, dan ia merupakan peluang buat De Bruyne mengembalikan prestasi seperti musim lalu.

The Citizens terlepas kedudukan pertama liga kepada Liverpool selepas tewas 0-2 kepada Chelsea, minggu lalu.

Ketibaan De Bruyne dilihat tepat pada waktunya untuk City bangkit daripada kekalahan pertama liga musim ini.

Bercakap mengenai situasi itu, Guardiola menjelaskan kesibukan musim lalu berkemungkinan memberikan keletihan mental buat De Bruyne dan kecederaan yang dialaminya memberikan rehat yang cukup buat pemain itu.

"Saya berasakan Kevin menamatkan musim lalu dengan kepenatan.

"Ia amat sukar buatnya.

"Dia bermain untuk tempoh yang lama dan sentiasa memaparkan aksi luar biasa.

"Selepas itu, dia terus beraksi dalam Piala Dunia bersama Belgium.

"Sekembalinya dia bersama kami, saya dapat rasakan dia terlalu kepenatan.

"Adakalanya pemain mampu pulih dengan cepat, namun keletihan mental memerlukan masa.

"Kami tidak mahu pemain tercedera, namun adakalanya ia membantu.

"Kini dia lebih segar dan sudah pulih sepenuhnya.

"Dia akan kembali menjadi watak penting buat kami memandangkan dia sentiasa memaparkan aksi yang luar biasa.

"Dia perlu sentiasa cergas untuk bersaing bersama pemain-pemain lain.

"Namun, jika kami memiliki pemain yang ramai, kami mampu menggilirkan mereka," katanya.