Robbie Keane percaya penggempur utama bekas pasukannya itu, Harry Kane akan kekal bersama kelab utara London itu meskipun prestasi pasukan kurang konsisten dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Bagi bekas penyerang Tottenham Hotspur itu, keyakinannya adalah kerana ia memerlukan wang perpindahan besar bagi memdapatkan Kane dan tidak banyak pasukan ketika ini yang mampu
berbelanja besar.

“Kane seorang tonggak penting pasukan dan sudah pasti Tottenham enggan kehilangan khidmatnya.

“Saya percaya Kane juga pasti sudah berbincang dengan pihak pengurusan kelab mengenai masa depannya.

“Untuk mendaptkan Kane, ia mungkin memerlukan wang perpindahan sekitar £100 juta dan tidak banyak pasukan yang mampu,” kata Keane ketika menjadi tetamu bersama John Hartson dan Gary Stevens di siaran langsung aksi EPL Tottenham-Arsenal di saluran CH813 Astro Supersport pada pagi Isnin.



Keane yang mengenali Kane sejak pemain itu masih remaja, turut menyifatkan kapten England itu sebagai seorang yang mempunyai cita-cita tinggi.

“Daripada usia muda dia seorang pemain yang mahu memenangi kejuaraan dan dia mempunyai cita-cita.

“Kerana itu saya percaya dia sudah berbincang dengan pengurusan kelab untuk mengetahui perancangan mereka.

“Pengerusi kelab kemungkinan memaklumkannya siapa pemain baru yang akan dibawa masuk musim depan.

“Jika anda tanya saya adakah Kane akan memenangi kejuaraan di Tottenham, ya saya yakin dia akan memenangi piala.

“Dia kini bermain di bawah kendalian Jose Mourinho yang mempunyai pengalaman luas dan sudah merasai pelbagai kejuaraan.

“Tottenham hanya perlu menambah kekuatan skuad selepas ini untuk saingan musim depan,” kata Keane.