Keane: Kami kecewakan Koeman

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2017 828
Keane: Kami kecewakan Koeman
Pertahanan Everton, Michael Keane, percaya pasukannya telah mengecewakan pengurus pasukan, Ronald Koeman, selepas dibelasah 5-2 oleh Arsenal, malam tadi.

Kekalahan di tangan Arsenal menyaksikan The Toffees kini mengalami lima kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir liga, menyebabkan mereka kini terperosok di tangga ke-18 dengan lapan mata walaupun berbelanja hampir GBP142 juta (RM790 juta) ketika jendela perpindahan musim panas, Jun lalu.

Wayne Rooney memberikan pendahuluan awal buat Everton, namun gol daripada Nacho Monreal dan Mesut Ozil memadamkan kelebihan tersebut.

Alexandre Lacazette, Aaron Ramsey dan Alexis Sanchez mematikan sisa-sisa kebangkitan anak-anak buah Koeman dan walaupun Oumar Niasse meledakkan gol kedua buat Everton, ia tidak mampu mengelakkan mereka daripada menerima kekalahan.

Situasi itu membuatkan Keane merasakan bahawa pasukannya telah hilang keyakinan selepas kehilangan kelebihan gol awal.

“Saya rasa ia begitu. Kebiasaaannya pemain-pemain akan berusaha keras untuk mendapatkan bola dan menunjukkan apa yang boleh mereka lakukan.

“Mungkin anda tidak melihatnya sekarang. Ia satu hari yang sukar. Segala-galanya terserah kepada kami kerana pengurus telah melakukan perancangan yang baik.

“Kami 100 peratus percaya kepada Koeman dan kami rasa kami telah membuatkannya kecewa. Sudah tentu kami akan berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Keane.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen