Chelsea tidak mempunyai tempoh masa untuk N'Golo Kante kembali pulih daripada kecederaan pangkal paha, dengan pengurus, Frank Lampard, menyatakan mereka telah mengambil pendekatan yang terbaik untuk mengembalikan tahap kecergasannya.

Kante bergelut dengan beberapa siri kecederaan sejak April lalu dan yang terbaru hadir ketika sesi pemanas badan sebelum bertemu Iceland dalam saingan kelayakan Euro 2020, 14 Oktober lalu.

Pemain tengah itu diketepikan ketika Chelsea meraih kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, juga ketika mengatasi Ajax bagi saingan Liga Juara-Juara (UCL) sementara bakal diketepikan daripada kunjungan ke Burnley hari ini.

Lampard enggan tergesa-gesa untuk mendapatkan khidmat Kante kerana tidak mahu pemain itu terus dibelenggu masalah kecederaan.

"Kante masih belum pulih sepenuhnya, dia masih berlatih meningkatkan kekuatan fizikal. Kami memerlukan Kante berada di tahap terbaik," kata Lampard yang turut mengesahkan Ruben Loftus-Cheek, Antonio Rudiger, Andreas Christensen dan Ross Barkley tidak dapat diturunkan.

"Saya mahu dia kembali cergas. Dia telah banyak beraksi sejak empat tahun lalu. Jadi, kami memberikan masa untuk Kante mendapatkan semula tahap kecergasannya.

"Kami juga kehilangan khidmat Loftus-Cheek, Rudiger dan kini Kante tidak dapat beraksi."

Penggantungan daripada melakukan perpindahan memaksa Lampard menggunakan produk akademi Chelsea, dengan Mason Mount, Tammy Abraham dan Fikayo Tomori diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan senior.

Mount dan Callum Hudson-Odoi, yang kembali beraksi bulan lalu selepas pulih daripada kecederaan Achilles, menandatangani kontrak jangka masa panjang dan Lampard mahu Abraham dan Tomori turut sama berbuat demikian.

"Saya mahu mereka kekal tetapi ia di luar bidang kuasa saya. Kelab ini mengetahui betapa saya menggemari pemain-pemain ini.

"Saya membawa mereka masuk ke dalam pasukan musim ini dan mereka berjaya beraksi cemerlang tetapi saya tidak berurusan mengenai kontrak mereka. Mereka beraksi baik dan saya mahu mereka kekal di sini."