Kante, David Luiz hadiahkan juara bertahan kekalahan pertama 

Oleh Staff Writer 9 Disember 2018 1916
Kante, David Luiz hadiahkan juara bertahan kekalahan pertama 
CHELSEA 2 MANCHESTER CITY 0

Kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Manchester City tidak mengubah pandangan Maurizio Sarri bahawa adalah mustahil untuk pasukannya memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.


The Blues memberikan kekalahan sulung buat skuad kendalian Pep Guardiola itu dalam saingan liga musim ini dengan N'Golo Kante dan David Luiz menyumbat gol dalam setiap babak di Stamford Bridge dalam aksi awal pagi tadi. 

Skuad Sarri itu masih ketinggalan tujuh mata di belakang City selepas 16 perlawanan dan lapan di belakang pendahulu baru EPL, Liverpool.

Justeru, pengurus Chelsea tersebut tetap berpendirian bahawa pasukannya tidak akan dapat mengekalkan prestasi mencabar gelaran juara musim ini kerana pada pandangannya, City adalah pasukan terbaik di Eropah.

"Seperti yang saya katakan, seperti yang anda sudah tahu, saya fikir mustahil kami mampu merapatkan jurang dengan mereka dalam tempoh hanya semusim," kata Sarri dalam sidang akhbar.

"Sudah tentu kami boleh menang dalam pertemuan ini. Namun, dalam tempoh selama 10 bulan, adalah sukar untuk merapatkan jurang dengan mereka. Saya berpendapat mereka merupakan pasukan terbaik di Eropah pada masa ini. 

"Kami meraih kemenangan malam ini. Bagaimanapun, saya harus mengatakan bahawa kami agak bernasib baik dalam tempoh 25 minit pertama. Ini kerana City boleh mencetak gol. Kami mempunyai sedikit tuah dalam separuh masa pertama sementara dalam babak kedua, kami cemerlang."

Dalam tiga pertemuan menentang skuad asuhan Guardiola itu sebelum ini, Sarri tidak pernah mencipta kemenangan.

Selain berasa senang dengan kemenangannya itu, Sarri menggesa Chelsea yang tewas di Wolves dalam aksi pertengahan minggu ini supaya mengekalkan rentak hebat mereka sepanjang bulan ini apabila mereka bakal berdepan Brighton & Hove Albion, Leicester City, Watford dan Crystal Palace dalam saingan liga.

"Saya gembira dengan kemenangan ini kerana adalah sukar untuk menang ketika menentang pasukan bimbingan Guardiola," katanya.

"Saya cukup masak bahawa mereka kini selangkah di hadapan. Kami perlu bekerja keras untuk merapatkan jurang.

"Kami tidak pasti mampu menampung jurang itu. Sudah tentu kami perlu mencubanya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen