Harry Kane tiada batasan terhadap apa yang boleh dilakukannya dan masih belum mencapai kemuncak prestasi, kata bekas rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Roberto Soldado.

Soldado menyertai Spurs daripada Valencia pada 2013 tetapi penyerang itu -- penjaring terbilang dalam LaLiga -- menghadapi kesukaran di England dengan hanya menjaringkan tujuh gol darpada 52 penampilan liga dalam tempoh dua tahun sebelum berpindah ke Villarreal.

Bagaimanapun, dia percaya dia tidak dibantu oleh ketibaan Kane, yang segera mengagumkan gandingannya di bahagian serangan itu sepanjang mereka bekerjasama di England.

"Saya sentiasa katakan bahawa terdapat satu waktu dalam karier saya yang saya tidak menggemarinya. Ia adalah ketika saya bersama Tottenham," kata Soldado, yang kini bersama Granada, dalam satu temu bual dengan The Guardian.

"Saya juga perlu bersaing dengan sensasi daripada Harry Kane, saya amat memahaminya kerana anda dapat melihatnya dari awal lagi.

"Saya dapat melihat tahapnya sewaktu latihan dan ia amat luar biasa.

"Saya tidak fikir terdapat batasan terhadap apa yang boleh dilakukannya.

"Kita masih belum melihat yang terbaik daripada Harry Kane.

"Apabila dia melakukan latihan merembat bola, dengan kedua-dua kakinya, dia amat prolifik.

"Dia bermain dengan amat baik untuk menjaringkan gol, melakukan bantuan, bijak dan berfikir dengan pantas berbanding sebelum ini.

"Mungkin dia agak bergelut musim ini kerana pasukannya sedang menghadapi waktu sukar tetapi dia terus berkembang," katanya.