TOTTENHAM 2 WEST HAM 0

Harry Kane berasa "cergas seperti sedia kala" sejurus menyumbat gol pertamanya pada tahun ini dalam kemenangan 2-0 Tottenham ke atas West Ham di tempat sendiri, awal pagi tadi.


Kane kembali beraksi buat pertama kalinya sejak Hari Tahun Baru berikutan kecederaan hamstring selain penundaan musim ini akibat COVID-19 ketika seri dengan Manchester United, minggu lalu.

Penyerang England itu kelihatan pantas tetapi mensia-siakan beberapa peluang terhidang ketika berdepan seteru setempat itu sebelum memastikan mata penuh, lapan minit menuju waktu kecederaan selepas Tomas Soucek terlebih dahulu memecah kebuntuan sebaik permainan melewati sejam menerusi gol sendiri.

Kemenangan itu membolehkan mereka terus menghambat pasukan di tangga ke lima dan keenam, The Red Devils dan Wolves, bagi perebutan tiket Liga Juara-Juara (UCL) dengan jurang satu mata.

Bercakap kepada Sky Sports selepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Kane berkata: "Sebagai penyerang, itulah yang anda ingin lakukan, anda mahu menjaringkan gol, anda ingin membantu memenangi permainan.

"Saya gembira dapat kembali sebagai pencetak gol. Ini adalah satu perlawanan yang sukar, kami memerlukan beberapa detik untuk mengatasi mereka. Kami mempunyai beberapa peluang sebelum dapat meledak pertama, jadi kami berasa sangat senang dapat menyempurnakannnya sebelum permainan berakhir.

"Apabila anda tersisih lebih dari enam bulan, ia satu perasaan yang hebat untuk berada di atas padang. Anda boleh berlatih seberapa banyak yang anda mahukan tetapi untuk dapat berada di sini sangat berbeza. Saya mempunyai beberapa peluang untuk melakukan lebih banyak jaringan tetapi adalah bagus dapat merobek gawang lawan."




Tambahnya: "Saya telah bekerja keras sepanjang tempoh pemulihan, ketika perintah kawalan pergerakan dan aksi ujian menuju aksi EPL yang bakal disambung. Saya berasa sentuhan saya masih sama.

"Kami berkesempatan untuk berehat, pulih dan melakukan beberapa perkara yang saya tidak dapat buat selama ini. Saya berasa dalam keadaan baik.

"Saya seorang pemain yang sama ada dapat menyumbat gol mahupun gagal memanfaatkan peluang terhidang, tetapi saya akan sentiasa bersedia untuk yang peluang seterusnya. Saya tidak fikir ia begitu mengganggu. Tetapi menjaringkan gol adalah salah satu perasaan terbaik di dunia. Sejak sekian lama saya melakukannya. Saya berasa lega dapat melakukannya.

"Kami bakal menikmati sedikit rehat sekarang -- perlawanan bertemu Sheffield United (Jumaat ini) merupakan aksi getir -- jadi mudah-mudahan kami dapat meneruskan rentak kemenangan ini dan membawanya ke sisa perjuangan musim ini."

Gol Kane muncul dalam penampilan ke-200 EPL bersama Tottenham. Dia telah merekodkan 137 gol buat kelab London itu yang menyaksikan hanya Sergio Aguero (138) mempunyai rekod yang lebih daripadanya dalam 200 penampilan bersama sebuah kelab.

"Bagus tapi saya boleh buat yang lebih baik lagi," katanya lagi mengenai pertemuan itu kelak.

"200 perlawanan boleh berlalu dengan begitu pantas. Saya sudah beraksi bersama pasukan utama selama lima atau enam tahun.

"Saya harus memanfaatkan sepenuhnya keadaan ini sebaik mungkin. Saya baru berusia 26 tahun dan karier saya masih panjang, jadi mudah-mudahan saya dapat mencapai angka 200 perlawanan dengan lebih cepat dan lihat ke manakah arah tuju kami."