Kane sedang diperhatikan penjaga gol -- Maradona

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 3702
Kane sedang diperhatikan penjaga gol -- Maradona
Harry Kane mungkin mudah untuk menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris tetapi penyerang Tottenham itu masih menerima nasihat daripada legenda Argentina, Diego Maradona, pada hujung minggu lalu.

Maradona menjadi tetamu di Wembley kelmarin dan menyaksikan perlawanan bersama bekas rakan sepasukan antarabangsa dan bekas pengurus Spurs, Ossie Ardiles, ketika pasukan Mauricio Pochettino itu membelasah Liverpool 4-1, dengan Kane menjaringkan dua gol.

Pemain antarabangsa England, Kane, kini mengumpul 17 gol untuk kelab dan negara pada musim ini tetapi video yang disiarkan dalam halaman Twitter rasmi Tottenham menunjukkan Maradona mengingatkan pemain berusia 24 tahun itu agar tidak terlalu mudah diramal di depan gol.

"Wow, penjaring gol hebat," kata Maradona, ketika diperkenalkan kepada pemain antarabangsa England, Kane, dan penjaga gol serta kapten Spurs, Hugo Lloris.

"Mauricio (Pochettino) benar-benar tulang belakang dalam pasukan. Hugo (Lloris) banyak menafikan percubaan dan Harry (Kane) banyak menyukarkan lawan," tambahnya.

Setelah mengucapkan tahniah kepada dua pemain itu, Maradona menambah: "Oh, dan Harry, jangan selalu ke arah 'near post ' dengan rembatan kamu. Pergi ke seberang, kadang-kadang.

"Kamu tahu kenapa? Penjaga gol menonton anda di TV sepanjang masa, jadi lain kali... ke seberang!"

Kane tidak perlu mempraktikkan segera nasihat Maradona apabila dia mengecewakan penjaga gawang Liverpool, Simon Mignolet, dengan melakukan jaringan pembukaan awal, manakala jaringan keduanya dan gol keempat Tottenham disudahkan susulan bola percubaan Jan Vertonghen pada minit ke-56 melantun semula.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen