Bintang Tottenham, Harry Kane, menegaskan terlalu awal buatnya untuk dibandingkan dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tetapi dia tidak sabar bagi mencapai tahap itu.

Kane, 24, memecahkan rekod sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dalam satu-satu tahun selepas melakukan hatrik dalam kemenangan 5-2 Spurs ke atas Southampton pada 'Boxing Day' bagi menghimpunkan 39 gol musim ini.

Pemain antarabangsa England itu menjaringkan 56 gol untuk Tottenham dan England pada 2017, dua gol mengatasi Messi.

Tetapi Kane berkata dia perlu terus menghasilkan lebih banyak bagi mencapai tahap luar biasa yang ditetapkan oleh bintang Barcelona, Messi, dan penyerang Real Madrid, Ronaldo.

"Apabila melihat Messi dan Ronaldo, jelas masih jauh untuk saya dapat dibandingkan dengan mereka tetapi ini adalah permulaan dan ia yang saya mahu lakukan," katanya.

"Selalu menjaringkan gol untuk menjadi pemain terbaik dunia. Messi dan Ronaldo menetapkan 'standard' itu sejak sekian lama."

Kane berada di landasan untuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris ketiga berturut-turut seperti dilakukan Alan Shearer (1994-97) dan Thierry Henry (2003-06).