TOTTENHAM 5 STOKE CITY 1

Harry Kane memuji Tottenham kerana mempamerkan aksi penuh bersemangat ketika menewaskan Stoke City 5-1 di Wembley, semalam.


Jaringan sendiri pertahanan The Potters, Ryan Shawcross, membuka tirai jaringan sebelum Son Heung-min menjarakkan kedudukan, awal dalam babak kedua.

Kane tidak ketinggalan dalam pesta gol buat skuad kendalian Mauricio Pochettino, dengan mencetak dua gol, sekaligus menjadikan golnya yang ke-50 buat tahun 2017 untuk kelab dan skuad kebangsaan.

Shawcross menebus maruahnya dengan menghasilkan gol sagu hati buat skuad kendalian Mark Hughes itu pada penghujung permainan.

Kemenangan ini meletakkan mereka kembali dalam landasan yang tepat selepas sekadar meraih dua mata dalam empat perlawanan liga.

"Kami amat memerlukannya, jaringan pembukaan untuk menghasilkan perlawanan yang memihak kepada kami. Spurs mempamerkan aksi yang penuh bersemangat," kata Kane.

"Bangkit selepas melalui tempoh sukar dan kami mahu meneruskan momentum ini.

"Heung-min berada dalam prestasi terbaik. Dia telah menjadi kunci kemenangan Spurs dalam perlawanan ini," katanya.

Pengurus, Pochettino, bersetuju dengan ulasan Kane yang menyifatkan pemain kebangsaan Korea Selatan itu telah beraksi cemerlang dalam perlawanan ini.

"Saya berpendapat, dia adalah salah seorang pemain yang berpengaruh dalam perlawanan ini.

"Kane berpeluang untuk menjaringkan lebih banyak gol tetapi saya berpuas hati dengan persembahan ini," ujarnya.

Spurs, yang kini menghuni tangga kelima dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), di atas Arsenal dan Burnley, menerusi perbezaan jaringan, akan kembali ke Wembley untuk pertemuan dengan Brighton and Hove Albion pada Rabu ini.