Kane luangkan masa panjang dengan Pochettino 

Oleh Staff Writer 25 November 2019 1473
Kane luangkan masa panjang dengan Pochettino 
Harry Kane mendedahkan bahawa dia sempat meluangkan masa selama beberapa jam bersama Mauricio Pochettino susulan pemecatan pengurus Argentina itu di Tottenham.

Pochettino dipecat Rabu lalu dan digantikan oleh Jose Mourinho, yang membimbing Spurs untuk kemenangan 3-2 di West Ham dalam sentuhan sulungnya, Sabtu lalu. 

Kane, yang turut menyumbat gol di Stadium London itu, bertindak mengunjungi Pochettino sehari selepas pengurus berusia 47 tahun itu dipecat.

"Saya telah berjumpa dengannya," kata bintang itu kepada akhbar UK.

"Saya bertandang ke rumahnya dan berjumpa dengannya keesokan harinya. Ia adalah satu berita yang mengejutkan buat semua orang, jadi saya mahu berjumpa dengannya dan kami telah berbual selama beberapa jam. Ia langkah yang baik untuk melakukannya sebelum pengurus baru dilantik. 

"Sudah seminggu ia berlalu, saya tidak pernah berdepan detik seumpamanya dalam kerjaya ini. Pada malam Selasa lalu, ia satu kejutan besar buat semua orang, termasuk barisan pemain. Keadaan tiba-tiba berubah sebaik kami mendapat pengurus baru, salah seorang pengurus terbaik dalam kancah ini."

Pochettino memberi impak sepanjang menerajui Tottenham, termasuk kemaraan ke final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, namun dia gagal membawa sebarang kejayaan trofi.

Mourinho pula mempunyai sentuhan juara, justeru Kane berharap taktik pengurus Portugis itu dapat memimpin Spurs untuk meraih trofi yang diimpikannya. 

"Beliau (Mourinho) telah memenangi kejuaraan di setiap kelab yang pernah dikendalikannya. Ia bukan satu rahsia lagi," katanya.

"Dia mahu menang, dia sudah membuktikan kewibawaannya. Saya pernah menjelaskan bahawa saya kini di peringkat kemuncak kerjaya dan saya mahu memenangi trofi. Saya telah menjelaskan bahawa saya mahu memenanginya di sini dan ia adalah satu cabaran besar pada tahun ini.

"Secara realistiknya, kami melihat potensi dalam UCL dan Piala FA untuk melakukannya. Kami akan melihat bagaimana keadaannya kelak dan daripada sudut pandangan saya, saya akan terus melakukan apa yang boleh saya lakukan dan terus berjuang untuk kelab ini di atas padang. "

Spurs akan menempah tiket peringkat kalah mati apabila menyambut kunjungan Olympiacos, awal pagi Rabu ini. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen