Harry Kane dan Jack Grealish mampu menjadi penambahan yang diperlukan Manchester United, kata Mark Bosnich yang berpendapat bekas kelabnya kini di landasan terbaik di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.

United mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan sebelum wabak coronavirus menyebabkan semua saingan bola sepak ditangguhkan.

Bekas penjaga gol Australia, Bosnich, memaklumkan Stats Perform bahawa penambahan berprofil tinggi di bahagian serangan tentunya mampu menjadi langkah terbaik walaupun sedar harga tinggi yang bakal diminta Tottenham Hotspur dalam pasaran perpindahan.

"Saya fikir United memerlukan penyerang lain, seorang yang berwibawa," katanya.

"Situasi yang berlaku memberikan United masa dan meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk membina kekuatan.

"Saya melihat penyerang sebagai pelengkap langkah itu. Anda memikirkan Bruno Fernandes, Harry Maguire, David De Gea dan Marcus Rashford tetapi faktor kecederaan membuatkan United perlu mendapatkan pemain berprofil tinggi di bahagian depan.

"Kane semestinya satu penambahan hebat buat United. Sama ada Spurs melepaskannya atau tidak, saya tidak tahu dan harganya dikatakan sekitar GBP200 juta (RM1.08 bilion). Saya fikir ia tidak masuk akal.

"Namun, Kane merupakan salah seorang penyerang terbaik dalam generasinya, bukan sahaja di England tetapi seluruh dunia. Ia mampu menjadi penambahan hebat."


Bosnich menyertai United daripada Aston Villa pada 2001 selepas mewakili The Red Devils pada 1989 hingga 1991 tatkala Dwight Yorke mengambil langkah sama pada 1998 sehingga memacu tiga kejuaraan pada 1999.

Bintang terkini Villa, Grealish, dikaitkan dengan perpindahan sama dan perasaan Bosnich bercampur mengenai situasi itu.

"Saya gembira untuknya tetapi tidak daripada perspektif Villa. Untuk United, ya," tambahnya.

"Saya berbesar hati jika dia berhijrah. Prestasinya sangat hebat.

"Saya teruja melihatnya pada 2018 ketika tewas di tangan Fulham di Wembley dalam aksi play off Liga Kejuaraan. Dia boleh berpindah ketika itu tetapi sebaliknya kekal dan membantu Villa bangkit. Ia membuatkan saya teruja."