Harry Kane akan berada dalam kesebelasan utama perlawanan menentang Manchester United -- perlawanan pertama mereka sejak Liga Perdana Inggeris direhatkan kerana pandemik Covid-19 -- selepas pulih daripada kecederaan paha.

Kane, 26, mengalami kecederaan itu ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Sothampton pada hari tahun baru, yang memaksanya berehat panjang.

Pada awalnya, dia dijangka akan terlepas kesemua baki perlawanan musim ini tetapi selepas liga itu terpaksa berehat selama tiga bulan gara-gara pendemik Covid-19, penyerang utama Spurs itu akan memainkan peranan utamanya dalam baki sembilan perlawanan terakhir ini.

Moussa Sissoko (cedera lutut) dan Son Heung-min (patah tangan) turut mengalami kecederaan serius sebelum perintah berkurung itu tetapi mereka juga kini bersedia untuk diturunkan.

Ketika bercakap dalam sidang media maya menjelang perlawanan awal pagi esok, Mourinho berkata: "Kami masih memiliki sedikit masalah kecederaan tetapi kami akan menunggu sehingga esok.

"Sudah pasti (Japhet) Tanganga mengalami keretakan tulang beberapa bulan lalu dan dia tidak sempat pulih buat masa ini.

"Dan kami juga berdepan beberapa masalah yang kami perlu kaji sebelum membuat keputusan.

"Tetapi mereka yang menjalani pembedahan, iaitu Kane, Son dan Sissoko, ketiga-tiga mereka itu sudah pulih dan boleh beraksi.

"Kane tidak bermain bola sepak selama lebih enam bulan, jadi dia sedang berusaha dengan amat gigih.

"Saya boleh katakan yang tiada masalah untuk dia memulakan perlawanan itu.

"Adakah Harry akan memperoleh 90, 80, 70, 60 minit permainan? Hanya perlawanan itu dapat menentukannya.

"Adakah Harry berada dalam prestasi terbaik? Untuk itu, saya tidak tahu.

"Sudah enam bulan dia tidak bermain bola sepak tetapi dia berusaha dengan amat baik.

"Dia seorang yang amat profesional dan dia akan memulakan perlawanan esok," katanya.