Kane cergas hadapi Arsenal

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2017 389
Kane cergas hadapi Arsenal
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, yakin Harry Kane akan kembali cergas sepenuhnya menjelang aksi liga menentang Arsenal.

Penyerang England itu telah mengharungi permulaan yang cemerlang dalam musim 2017/18 selepas menjaringkan 17 gol di peringkat kelab dan antarabangsa, namun tahap kecergasannya untuk beraksi menentang The Gunners menjadi persoalan.

Kane terpaksa diketepikan daripada skuad England bersama dua rakan sepasukan, Dele Alli dan Harry Winks, bagi aksi persahabatan bertemu Jerman dan Brazil akibat kecederaan lutut yang dialami ketika membantu Spurs menundukkan Crystal Palace 1-0, Ahad lalu.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu tidak menjangkakan kecederaan tersebut akan memberi kesan kepada penampilan Kane untuk berdepan Arsenal, sekaligus membantu Spurs yang kini terikat 23 mata dengan pasukan di tangga kedua, Manchester United.

"Kane berada dalam keadaan baik dan bagus," kata Pochettino di majlis pelancaran buku tentang kariernya.

"Saya rasa anda akan dapat menyaksikannya dalam perlawanan selepas ini. 

"Dia mengalami kecederaan pada lutut tetapi ia tidak perlu dirisaukan kerana dia akan beraksi menentang Arsenal," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen