TOTTENHAM 2 WEST BROM 0

Jose Mourinho yakin Tottenham dan Son Heung-min tidak akan menghadapi masalah dalam rundingan kontrak baru sambil memuji sentuhan Harry Kane dalam kemenangan 2-0 ke atas West Brom, malam tadi.


Ketua pasukan itu terlepas dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terdahulu -- kedua-dua berakhir dengan kekalahan -- selepas dilanda kecederaan ketika tewas 1-3 di laman sendiri kepada Liverpool, bulan lalu.

Namun, pemain England itu kembali diturunkan dan tidak perlu menunggu lama untuk meledak gol dalam separuh kedua sebelum Son melebarkan jurang.

Kedua-dua pemain itu telah menyumbangkan 36 peratus gol liga pada musim ini untuk menghuni kedudukan ke-13, sementara Son menghampiri rekod jaringan terbaiknya buat kelab London tersebut -- setelah melakar 14 gol dalam musim 2016-17.

Kontrak penyerang Korea Selatan itu masih panjang dan ketika wabak COVID-19 mengekang banyak aktiviti mereka, pengendali Portugis itu tetap yakin Spurs akan mengekalkan bintang handalannya sebaik "matahari kembali menyinari dunia".

"Son tiada masalah, dia masih terikat dengan kontrak selama beberapa tahun jika tidak silap saya, mungkin berbaki tiga tahun lagi. Saya percaya, kami hanya menunggu saat yang tepat untuk memuktamadkannya," kata Mourinho.

"Dengan situasi COVID-19 ketika ini, saya rasa ini bukan detik yang tepat bagi pemain dan kelab untuk membincangkan kontrak sedangkan begitu ramai orang kehilangan pekerjaan, tidak dapat bekerja dan menghadapi kesukaran.

"Saya percaya bahawa sebaik matahari kembali menyinari dunia, kelab dan Sonny akan memuktamadkan kontrak baru dengan mudah."



Kane terlepas dua kekalahan 0-1 berturut-turut iaitu menentang Brighton & Hove Albion dan Chelsea selepas tercedera kedua-dua pergelangan kakinya ketika menentang Liverpool.

Namun, dia sempat pulih dengan segera untuk bertemu West Brom, ia perkembangan yang cukup menggembirakan Mourinho.

Golnya pada minit ke-54 membantunya mencapai angka ke-20 untuk rentetan musim ketujuh di samping Mohamed Salah (21), Erling Haaland (22), Cristiano Ronaldo (23) dan Robert Lewandowski (27) untuk mencatat lebih banyak gol dalam lima kalangan liga utama Eropah musim ini.

"Kami banyak bergantung kepadanya, kami tidak boleh menyembunyikan hakikat ini," kata Mourinho mengenai ketua pasukan Spurs itu.

"Ini adalah satu gol yang mampu dihasilkannya, kemampuannya mencipta bantuan jaringan, keserasian dengan rakan sepasukan selain keperibadiannya meletakkan sebagai susuk penting buat kami.

"Hari ini saya sudah berikrar untuk tidak bercakap mengenai pencapaian individu kerana saya sangat gembira dengan kompromi pemain dalam misi memenangi perlawanan ini dan mengakhiri siri tiga kekalahan.

"Persoalannya memang sukar kehilangannya. Dia adalah seorang pemain yang cukup berharga."