Kane berterima kasih kepada Pochettino

Oleh Penulis Jemputan 21 November 2019 571
Kane berterima kasih kepada Pochettino
Kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane, berterima kasih kepada Mauricio Pochettino kerana merealisasikan impiannya selepas pengurus berbangsa Argentina itu dipecat.

Spurs mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan bahawa tempoh lima setengah tahun Pochettino bersama pasukan itu telah ditamatkan semalam.

Pochettino membuktikan wibawanya di kelab London itu dengan memastikan Spurs kekal dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris bagi empat musim berturut-turut selain membawa mereka ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu sebelum tewas 0-2 kepada Liverpool.

Namun, selepas permulaan hambar musim ini, yang menyaksikan mereka terperangkap di tangga ke-14 selepas 12 perlawanan liga, Pengerusi Spurs, Daniel Levy, membuat keputusan drastik untuk menggantikan pengurus itu dengan Jose Mourinho.

Bagaimanapun, masih terdapat perasaan hormat terhadap Pochettino dalam bilik persalinan Spurs dengan ketua pasukan, Kane, menzahirkan penghargaannya buat bekas pengurus pasukannya itu.

"Orang lama, saya akan sentiasa berterima kasih kepada kamu kerana membantu saya mencapai impian," katanya dalam lama Twitter rasminya.

"Kita mempunyai pelbagai momen hebat bersama dalam lima setengah tahun ini yang tidak mungkin saya lupakan.

"Kamu adalah pengurus dan rakan saya dan saya mahu berterima kasih kepada kamu untuk hubungan ini.

"Selamat berjaya dalam babak yang seterusnya," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen