Kane, Alli selamatkan maruah Tottenham 

Oleh Staff Writer 26 Disember 2019 426
Kane, Alli selamatkan maruah Tottenham 
TOTTENHAM 2 BRIGHTON 1
 
Harry Kane dan Dele Alli meledak gol dalam separuh masa kedua untuk kemenangan 2-1 berpihak kepada Tottenham ketika berdepan Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri sebentar tadi.
 

Skuad kendalian Jose Mourinho itu, yang tumpas 0-2 kepada Chelsea, Ahad lalu, memperagakan aksi di bawah tahap sebenar ketika ketinggalan 0-1 kepada Brighton dalam pertembungan di Stadium Tottenham Hotspur itu sebelum dipaksa bangkit.
 
Adam Webster mengambil kesempatan daripada siri pertahanan goyah tuan rumah untuk memberikan Brighton gol pendahuluan dalam babak pertama, 13 minit selepas jaringan Kane dibatalkan akibat ofsaid.
 
Penyerang England itu, bagaimanapun, menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bersambung bagi meneruskan rekod kemenangan mereka sehari selepas Krismas sementara Alli menghasilkan gol kemenangan ketika permainan bersisa 18 minit dalam usaha menghidupkan semula aspirasi Tottenham merebut tanggat keempat.
 
Terlebih dahulu, Kane dikecewakan sebaik melepasi halangan penjaga gol, Mathew Ryan, tetapi jaringan yang diilhamkan oleh gerakan Harry Winks itu mengundang campur tangan video bantuan pengadil (VAR) sebelum dibatalkan.
 
Aaron Connolly -- yang menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-0 Brighton ke atas Spurs, Oktober lalu -- terlepas peluang berharga pada minit ke-49 yang menyaksikan pemain muda itu membuat sepakan liar dari jarak dekat selepas menerima umpanan Bernardo tatkala Spurs terus bergelut untuk mendapatkan momentum.
 
Bagaimanapun, Kane tidak semena-mena menewaskan Ryan buat kali kedua untuk mengikat kedudukan.
 
Ia menjadi titik tolak kepada Tottenham untuk memperkemaskan permainan sebelum meraih gol kemenangan menerusi Alli yang menyudahkan hantaran Serge Aurier dalam gerakan yang berpunca daripada pemain gantian, Christian Eriksen.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen