Aitor Karanka percaya dia dan pemilik kelab Middlesborough, Steve Gibson, telah menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir ke Liga Satu.

Bekas pertahanan Real Madrid itu mengambil alih jawatan pengendali pada tahun 2013 -- tugas pertamanya selaku pengurus -- sebelum membawa kelab itu untuk layak beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dalam tempoh tiga musim.

Namun, Karanka menegaskan Boro dalam perjalanan untuk tersingkir ke Liga Satu ketika dia tiba di Riverside.

Boro kini dalam persiapan untuk bertandang ke Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu -- perlawanan ke-150 buat Karanka bersama kelab itu.

"Sudah tiga tahun kami bersama dan kadang-kala saya berasakan masa berlalu terlalu cepat," jelasnya.

"Tiga tahun lalu, saya telah diberikan satu tugas, iaitu untuk membawa Middlesborough kembali ke Liga Perdana Inggeris.

"Seperti saya perkatakan sebelum ini ketika berjumpa dengan Steve Gibson, saya telah membuat keputusan yang tepat.

"Selepas tiga tahun, kami telah berkembang bersama-sama kerana pasukan ini sepatutnya beraksi dalam Liga Satu tetapi kami kini berjuang dalam Liga Perdana Inggeris.

"Kami perlu meneruskan kepercayaan ini. Pada saya, Steve percayakan saya dan saya juga percayakan dia. Inilah jalan yang terbaik."

Skuad kendalian Karanka kini sedang menghuni tangga ke-17 liga, dengan hanya satu kemenangan.