Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri, memberi amaran kepada pemainnya bahawa mereka kini dalam kedudukan bahaya untuk disingkirkan daripada saingan Liga Perdana Inggeris susulan kekalahan 2-1 kepada Sunderland.

Memasuki babak kedua yang agak kucar-kacir di Stadium of Light, gol sendiri oleh Robert Huth dan jaringan Jermain Defoe membuat Sunderland menguasai perlawanan sebelum Shinji Okazaki sempat menjaringkan gol sagu hati.

Keputusan itu meletakkan Leicester City kini gagal melakar kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut, sekaligus membuat Ranieri mengakui bahawa pasukannya sedang bergelut untuk menjauhi zon penyingkiran.

"Kami mahu mengutip tiga mata di sini kerana ini adalah perlawanan untuk menjauhi zon penyingkiran tetapi mereka berjaya, jadi tahniah kepada Sunderland." kata pengendali Itali itu.

"Saya pernah berkata dua atau tiga minggu lalu bahawa saya sering menoleh ke belakang bagi menyedari situasi sebenar. Kami sememangnya sedang bertarung bagi mengelakkan daripada zon penyingkiran.

"Untuk itu, kami perlu kekal tenang kerana secara bersama-sama, kami mampu mengatasinya.

"Kami telah memberikan yang terbaik tetapi ia tidak cukup. Pemain perlu bekerja lebih keras dan yakin bahawa saat yang hambar ini akan berlalu."