Kami mampu menang semua -- De Bruyne

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2017 1366
Kami mampu menang semua -- De Bruyne
Kevin De Bruyne melihat tiada alasan untuk Manchester City untuk tidak dapat memenangi semua kejohanan musim ini selepas skuad kendalian Pep Guardiola itu terus mempamerkan persembahan ampuh.

City bakal berkunjung ke Huddersfield Town untuk memastikan kemenangan ke-16 dalam 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.

De Bruyne berada pada tahap terbaik dan dilihat bakal menjadi salah seorang pemain yang akan merebut anugerah individu pada penghujung musim ini.

Tetapi kejayaan yang lebih besar menarik minat pemain kebangsaan Belgium itu, yang telah meledak empat gol dan sembilan bantuan jaringan sekaligus menjadi inspirasi City untuk mendahului liga dengan kelebihan lapan mata.

Di samping itu, The Citizen turut meraih lima kemenangan dalam lima perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) serta mara ke pusingan suku akhir Piala EFL.

"Saya menyedari tidak boleh memenangi semuanya dengan usaha diri sendiri. Saya mampu beraksi dengan cemerlang seperti yang saya lakukan sebelum ini tetapi saya mahu mengakhiri musim ini dengan kejuaraan," kata De Bruyne.

"Sejak saya bersama City, kami hanya memenangi Piala Liga, kali ini kami akan cuba meraih sesuatu yang lebih besar. Saya berasakan kami mampu menang semuanya.

"Ia adalah satu tugas yang sukar, empat pertandingan," ujarnya.

Sejak kejayaan Chelsea pada musim 2012, tiada pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mara ke final UCL tetapi wakil kelab Inggeris kali ini menyaksikan City, Tottenham dan Chelsea menempah slot ke pusingan kalah mati manakala Manchester United dan Liverpool berada dalam landasan untuk menyertai mereka.

"Berdepan Monaco musim lalu, kami gagal bermain dengan baik. Tetapi musim ini, kelab EPL lebih berkualiti dalam saingan UCL.

"Pada permulaan musim, saya telah memberitahu ia akan menjadi musim yang sangat baik buat semua kelab Inggeris," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen